Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Ibrahim Akan Kembalikan Pelabuhan Klang Kepada Rakyat

ceramah klang faekah 01

KLANG, 22 APR : Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pastinya akan membawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kembali ke pangkuan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 pada 5 Mei nanti.

Ianya merupakan satu amanah yang perlu digalasnya setelah calon yang beliau ketengahkan pada tahun 2008 akhirnya lompat parti dan mengkhianati rakyat, jelas setiausaha politiknya Abdul Khalid, Faekah Husin.

“Untuk memastikan rakyat tidak tertipu lagi, maka kita lantik Menteri Besar untuk turun bertanding di sini.

“Parti tidak memilih saya atau calon lain untuk bertanding di sini.

?Tetapi memilih orang yang cadangkan dan ketengahkan calon katak pada PRU lepas untuk menebus balik kesalahan pada tahun 2008,” ujarnya dalam satu ceramah bertempat di Kampung Nelayan, Pulau Indah di sini malam tadi.

Turut hadir memberi ceramah ialah calon DUN Sekinchan, Ng Suee Lim, calon Parlimen Klang, Charles Santiago dan juga Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, yang juga merupakan bekas Adun DAP bagi DUN Pandamaran bagi penggal lepas.

Pada PRU 12 yang lalu, kerusi Pelabuhan Klang dimenangi calon PKR ketika itu, Badrul Hisham Abdullah yang menewaskan calon BN, Roselinda Abdul Jamil dan calon bebas Nazir Mansor dengan majoriti 4,440 undi.

Beliau kemudian mengisytiharkan keluar PKR pada September 2009 dan menyertai Umno enam bulan selepas itu.

“Jangan risau semua di Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid akan tebus N46 ini untuk rakyat, ini iltizamnya,” tegas Faekah mengakhiri ucapannya yang mewakili Menteri Besar.

Untuk PRU13 ini, Abdul Khalid akan berhadapan calon BN, Datuk Nasaruddin M. Zin yang juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Klang.

Nasib kedua-dua calon ini bakal ditentukan oleh 39,972 pengundi Pelabuhan Klang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.