Categories
NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah: Menteri KDN Perlu Pastikan Keganasan Politik Tidak Berulang

nurulizzah

KUALA LUMPUR, 1 APR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu memastikan insiden keganasan politik yang berleluasa sekarang dihentikan segera.

Desakan ini disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang sering menjadi mangsa keganasan politik dan insiden ini jika tidak dikekang boleh merencatkan perkembangan demokrasi dan usaha mewujudkan kematangan politik.

“Saya mengajak setiap parti yang bertanding agar menyuarakan bantahan terhadap politik keganasan sebegini.

“Kita juga mendesak Datuk Hishamuddin Hussein melakukan sedaya mungkin dalam bidang kuasa beliau selaku Menteri Dalam Negeri untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang.

“Mereka yang terlibat dalam insiden keganasan, mereka wajib dibawa ke muka pengadilan serta-merta,” katanya dalam satu sidang media.

Tambahnya, keganasan politik yang berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini perlu dikekang secara tegas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mengikut rekod, Parlimen Lembah Pantai disifatkan sebagai ‘kawasan panas’ ekoran beberapa gangguan oleh Umno Lembah Pantai terhadap Naib Presiden PKR itu bukan sahaja keganasan berbentuk ‘criminal intimidation’ malah tiadanya adab tertib berpolitik.

Awal Mac lalu sukarelawan pejabat Parlimen Lembah Pantai menjadi mangsa intimidasi sewaktu membuat tinjauan pengundi di kawasan perumahan sekitarnya.

Selanjutnya, serangan terhadap aktivis muda, Adam Adli yang ditumbuk di Kerinchi pada April 2012 semasa cuba menenangkan keluarga yang sedang dihalau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di pangsapuri empat tingkat PKNS.

Serangan terbaru disasarkan kepada Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi Lembah Pantai (JDM), Siti Mariam Mohd Aly dan Ketua Khemah Sentosa Utara, Sivaneswary Alamalai.

Menurut Siti, beliau  ke balai polis pada 29 Mac untuk membuat laporan selain membuat pengecaman wajah suspek.

Terbaru, beliau turut menerima ancaman ugutan ketika bertugas di khemah PKR namun belum membuat sebarang laporan polis.

“Saya dah pergi cam muka. Polis dah kenalpasti geng-geng ini adalah geng tetak dan jual dadah.

“Mereka (polis) cakap dah lama cari tapi tak dapat tangkap.

“(Kejadian) dekat Sentosa dalam pondok tengah buat kerja ada satu kereta Waja (datang) dan diorang ugut kami. Itu kami belum buat laporan lagi,” kata Siti.

Kawasan Parlimen Lembah Pantai turut diingati dengan tragedi ‘Malam Berdarah’ pada Mei 2012 sewaktu ceramah umum apabila telur dan batu dilontarkan ke arah para hadirin yang hadir sehingga mengakibatkan warga tua dan kanak-kanak tercedera.

Leave a Reply

Your email address will not be published.