Categories
NASIONAL

Lambakan Kesalahan Pilihan Raya SPR Harus Jawab

Anwar PC

PETALING JAYA 6 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung lambakan isu kesalahan pilihan raya yang dikesan di kebanyakan tempat pengundian siang tadi.

Bercakap dalam satu sidang media awal pagi ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian-kejadian berkenaan, bukannya satu tuduhan liar dan kosong.

“Selagi SPR tidak menjelaskan perkara ini, kita tidak dapat menyatakan sebarang tindakan.

“Tidak adil untuk membuat sebarang keputusan dalam keadaan pilihan raya yang dijalankan secara tidak bersih,” jelasnya kecewa.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah sepanjang perjalanan proses pengundian, terdapat banyak insiden tangkapan pengundi asing seperti warga Bangladesh berjaya dilakukan.

Antaranya, di Parlimen Pandan di mana calon PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung cubaan mengundi dibuat oleh pengundi ragu di kawasan yang berjaya dimenanginya itu setelah tamat pengiraan.

Selain itu, cubaan untuk memanipulasi jumlah undi juga berjaya dikesan diĀ  kawasan Parlimen Lembah Pantai di mana polis didapati cuba membawa kotak peti undi yang diragui ke tempat pengiraan undi.

Menyifatkan SPR sebagai sebuah badan yang gagal mengendalikan suatu proses pilihanraya yang telus, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga meluahkan keraguannya mengenai pengiraan undian awal dan undi pos yang dijalankan.

“Bukan sahaja kita tidak dibenarkan memantau, tetapi lebih meragukan, undian-undian ini secara majornya menyebelahi BN sedangkan trend undian pengundi adalah sebaliknya,” katanya lagi.

Selain itu, turut dipersoalkan ialah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya boleh dihilangkan dengan mudah, tidak sepertimana didakwa SPR sebelum ini bahawa kononnya tidak akan hilang sehingga lima hari.

Mengulas pembentukan Kerajaan BN yang baru, Anwar sekadar berkata beliau masih menanti keputusan penuh sebelum sebarang ulasan dapat diberikan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah: Menteri KDN Perlu Pastikan Keganasan Politik Tidak Berulang

nurulizzah

KUALA LUMPUR, 1 APR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu memastikan insiden keganasan politik yang berleluasa sekarang dihentikan segera.

Desakan ini disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang sering menjadi mangsa keganasan politik dan insiden ini jika tidak dikekang boleh merencatkan perkembangan demokrasi dan usaha mewujudkan kematangan politik.

“Saya mengajak setiap parti yang bertanding agar menyuarakan bantahan terhadap politik keganasan sebegini.

“Kita juga mendesak Datuk Hishamuddin Hussein melakukan sedaya mungkin dalam bidang kuasa beliau selaku Menteri Dalam Negeri untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang.

“Mereka yang terlibat dalam insiden keganasan, mereka wajib dibawa ke muka pengadilan serta-merta,” katanya dalam satu sidang media.

Tambahnya, keganasan politik yang berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini perlu dikekang secara tegas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mengikut rekod, Parlimen Lembah Pantai disifatkan sebagai ‘kawasan panas’ ekoran beberapa gangguan oleh Umno Lembah Pantai terhadap Naib Presiden PKR itu bukan sahaja keganasan berbentuk ‘criminal intimidation’ malah tiadanya adab tertib berpolitik.

Awal Mac lalu sukarelawan pejabat Parlimen Lembah Pantai menjadi mangsa intimidasi sewaktu membuat tinjauan pengundi di kawasan perumahan sekitarnya.

Selanjutnya, serangan terhadap aktivis muda, Adam Adli yang ditumbuk di Kerinchi pada April 2012 semasa cuba menenangkan keluarga yang sedang dihalau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di pangsapuri empat tingkat PKNS.

Serangan terbaru disasarkan kepada Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi Lembah Pantai (JDM), Siti Mariam Mohd Aly dan Ketua Khemah Sentosa Utara, Sivaneswary Alamalai.

Menurut Siti, beliauĀ  ke balai polis pada 29 Mac untuk membuat laporan selain membuat pengecaman wajah suspek.

Terbaru, beliau turut menerima ancaman ugutan ketika bertugas di khemah PKR namun belum membuat sebarang laporan polis.

“Saya dah pergi cam muka. Polis dah kenalpasti geng-geng ini adalah geng tetak dan jual dadah.

“Mereka (polis) cakap dah lama cari tapi tak dapat tangkap.

“(Kejadian) dekat Sentosa dalam pondok tengah buat kerja ada satu kereta Waja (datang) dan diorang ugut kami. Itu kami belum buat laporan lagi,” kata Siti.

Kawasan Parlimen Lembah Pantai turut diingati dengan tragedi ‘Malam Berdarah’ pada Mei 2012 sewaktu ceramah umum apabila telur dan batu dilontarkan ke arah para hadirin yang hadir sehingga mengakibatkan warga tua dan kanak-kanak tercedera.