Categories
NASIONAL

Pelaburan Di Kedah: Mukhriz Perlu Rujuk Laporan Mida

Mahfuz

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Mukhriz Mahathir dinasihati agar merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) berikutan dakwaan beliau yang memperkecilkan kemampuan Pakatan Rakyat(PR).

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menambah, selain Pulau Pinang dan Selangor, Kedah yang diterajui oleh PAS turut mencatatkan nilai pelaburan yang memberangsangkan.

Menurut Mahfuz yang memetik laporan yang dikeluarkan MIDA, bagi tempoh 2008 hingga 2012 Kedah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM15.89 bilion.

Dalam tempoh sama Kerajaan Kedah juga berjaya mewujudkan sebanyak 22,440 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

“Negeri yang mecatat pelaburan terendah adalah Perlis yang ditadbir oleh BN, Kedah tak pernah lagi,” ujar Mahfuz lagi.

Sebaliknya Mahfuz menggesa Mukhriz mengakui dua negeri penyumbang tertinggi pelaburan di negara ini merupakan negeri yang ditadbir oleh PR.

“Datuk Mukhriz sepatutnya kena akui dua negeri yang menyumbang pelaburan tertinggi adalah negeri PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor,” kata Mahfuz dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat hari ini.

Terdahulu, Mukhriz dalam satu kenyataannya kepada media memberitahu, beberapa pelabur bersedia untuk melabur di negara ini sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Kenyataan beliau tersebut memberikan persepsi negatif kepada kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat pusat dan negeri membawa masuk pelabur ke negara atau negeri masing-masing.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu tidak disertakan dengan sebarang bukti dan senarai syarikat yang dimaksudkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.