Categories
NASIONAL

Pas Akan Ketengahkan Calon Bukan Islam

hadi pc bicara sinar 01

SHAH ALAM, 8 APR : PAS hari ini mengesahkan bakal menempatkan calon daripada kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang merupakan aktivis bukan Islam parti itu di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS akan meletakkan calon DHPP untuk meraih undi masyarakat bukan Islam ekoran calon bukan Islam kebanyakannya bertanding atas tiket DAP dan PKR.

“Kita sedang usaha supaya dewan himpunan daripada pelbagai bangsa itu ada. InsyaAllah ada calon India, Cina dan Iban.

“Masalah kita ialah kerana kalangan bukan Islam sudah menjadi calon DAP dan PKR,” katanya dalam sidang media selepas majlis Bicara Minda di Kompleks Karangkraf, di sini petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi calon DHPP berkenaan, sebaliknya meminta semua pihak menunggu sehingga hari penamaan calon.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, parti itu melalui Majlis Syura telah membenarkan masyarakat bukan Islam bertanding atas tiket PAS.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengesahkan PAS hampir menyelesaikan keseluruhan kerusi yang bakal ditandingi dan hanya perlu menyelesaikan sedikit masalah berhubung pertindihan kerusi.

“99.99 peratus sudah pasti, yang tinggal masih terlalu kecil tidak sampai 10 kerusi bertindih. Saya tidak boleh sahkan tempatnya, kita tunggu sahaja nanti,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.