Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Tiada Rahsia Selangor Di Bawah PR Berbanding Era Umno-BN’

MB pc PKR hq 01

BESTARI JAYA 8 APRIL : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan Kerajaan Umno-BN dahulu mengamalkan pentadbiran secara rahsia berbanding Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sekarang.

Menurut Abdul Khalid, pemberian hak milikan tanah di bawah Kerajaan Umno-BN dahulu tidak dipamerkan kepada umum dan rakyat tidak  tahu siapa mendapatnya.

“Dulunya apa yang kita lakukan adalah dianggap rahsia, jadi oleh sebab itu, sangat sukar orang mengetahui kehendak kerajaan.

“Umpamanya jika kita setuju untuk kawasan ini, kita berikan tanah kepada mereka, tapi nama-nama mereka tidak boleh disiarkan, sangat sukar kita nak tentukan kita ini betul ke tak.

“Tapi oleh kerana konsep ketelusan yang kita(PR) lakukan, kita boleh tampalkan nama-nama mereka ini di balairaya untuk pengetahuan mereka sekampung dan mereka boleh buat kenyataan usaha kita ini baik ke tak baik,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai tugas paling mencabar sepanjang lima tahun pentadbirannya.

Dalam isu yang sama, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Umno-BN lebih suka memberikan kontrak secara rundingan terus berbanding secara tender terbuka yang diamalkannya.

Kata Abdul Khalid pada mulanya beliau menghadapi kesukaran melaksanakan dasar tender terbuka kerana dasar rundingan terus digunakan sekian lama oleh Umno-BN.  Malah,  pada awalnya beliau mengalami kesukaran kerana ramai rakan-rakan mahu dasar Umno-BN diteruskan.

“Tetapi saya beritahu mereka ini tidak boleh. Akhirnya mereka tengok cara saya buat munasabah dan sekarang mereka boleh gunakan usaha yang kita buat ini sebagai kempen, PR tidak rasuah dan tidak salah guna kuasa,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.