Categories
NASIONAL

Pakatan Tiada Sebarang Masalah Berdepan SPR

Grafik Pengundi hantu

PETALING JAYA, 14 MEI: Pakatan Rakyat (PR) bersedia berdepan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mengemukakan dakwaan salah laku Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan tidak ada sebarang masalah untuk menerima cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mahu Pakatan berdepan dengan Abdul Aziz.

Tambah Saifuddin, sekiranya Abdul Aziz enggan bertemu Pakatan, beliau berharap Ahmad dapat membantu Pakatan untuk mendapat pertemuan dengan Pengerusi SPR itu.

“Majlis Setiausaha PR bersetuju menjemput Tan Sri Aziz dalam masa terdekat ini bagi berdepan PR untuk kita membangkitkan satu persatu perkara-perkara yang berkaitan salah laku pilihan raya.

“Jika Tan Sri Aziz enggan menerima jemputan kita saya percaya Datuk Ahmad Maslan akan membantu kita dalam usaha bertemu dengan kita,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau percaya Abdul Aziz tidak keberatan untuk bertemu Pakatan Rakyat memandangkan PRU-13 baru sahaja berlaku seminggu lalu.

Ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat sedang mengumpul bukti berhubung salah laku pilihan raya. PKR diketuai Rafizi Ramli , DAP oleh Ong Kian Ming manakala PAS oleh peguam Asmuni Awi.

Pakatan akan memberi fokus terhadap kira-kira 27 kerusi Parlimen yang mereka dakwa telah berlaku penipuan pilihanraya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.