Categories
NASIONAL

Forensik : 52 Kesan Kecederaan Punca Kematian N.Dhamendran

surendran pc 01

 

PETALING JAYA, 1 JUN : Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan terdapat 52 kesan kecederaan di hampir seluruh tubuh badan mendiang N.Dhamendran.

Mendiang berusia 31 tahun didakwa dipukul dan didera dengan teruk sehingga meninggal dunia ketika dalam tahanan polis bulan lalu.

Dr Siew Sheue Feng dalam laporan bedah siasatnya mempercayai kematian Dhamendran adalah berpunca daripada kesan pukulan ke atas badan dan kepalanya menggunakan objek tumpul dan keras seperti rotan atau kayu serta mendiang berkemungkinan digari ketika dicederakan.

Laporan itu turut mengesahkan mendiang tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh membawa kepada kematiannya semasa berada dalam tahanan.

“Jelas bahawa mendiang dipukul menggunakan objek tumpul dalam keadaan tangannya digari kerana terdapat kesan kecederaan serius pada pergelangan tangan semasa bedah siasat dilakukan.

“Mendiang juga didapati tidak mampu mempertahankan diri dan dipercayai dipukul secara bertalu-talu dari atas (bahagian kepala) selain forensik turut menemui kecederaan akibat dawai kokot di kedua-dua belah telinganya,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran ketika membaca laporan bedah siasat itu di ibu pejabat PKR hari ini.

Laporan tersebut turut mengesahkan kecederaan yang dialami mendiang bukan disebabkan kemalangan secara tidak sengaja atau mencederakan diri sendiri.

Sehubungan itu, Surendran menggesa polis menahan anggota mereka yang dipercayai melakukan kekerasan terhadap Dhamendran sewaktu berada dalam tahanan dengan kadar segera.

Beliau turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi maklumbalas berhubung perkara ini yang disifatkan bukan pertama kali berlaku.

“Saya ulangi bahawa perkara ini adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak. Anggota polis yang disyaki melakukan perkara ini haruslah ditahan dengan segera (dalam tempoh 24 jam).

“Perdana Menteri juga harus jawab bagaimana seorang yang berada dalam tahanan boleh dicederakan atau diseksa sebegini rupa. Ini tidak adil buat keluarga mendiang,” katanya lagi.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry Mariay Susay (isteri) menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah sebelum ini dilaporkan berkata Dhamendran mati akibat kesukaran bernafas.

Polis kemudiannya mengkategorikan kes tersebut sebagai kes bunuh apabila perunding patologi daripada HKL mengesahkan bahawa Dharmendran meninggal dunia akibat “kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan”.

Ahli patologi itu juga menjumpai luka yang masih baru yang didakwanya membuktikan mangsa dipukul dan didera dengan teruk sehingga mati ketika dalam tahanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.