Categories
NASIONAL SELANGOR

MDHS Arah Pemaju Perumahan Tamu Hill Park Sedia Tapak Surau Segera

tamu hillpark minta surau 02

SHAH ALAM  22 JULAI :  Majlis Daerah Hulu Selangor telah mengarahkan pihak pemaju taman perumahan Tamu Hill Fasa 2 Batang Kali untuk menyediakan tapak surau bagi kegunaan komuniti Islam di situ.

Penolong Pegawai Penerangan, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Junainah Abdullah berkata, permohonan Jawatankuasa Sementara Surau Tamu Hill Park Fasa 2 sebelum ini untuk membina surau di taman itu ditolak.

Katanya, MDHS tidak boleh meluluskan permohonan untuk membina surau di kawasan lapang di taman itu kerana Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 tidak membenarkan bangunan dibina di padang awam dan rekreasi.

“Namun Jawatankuasa OSC mengarahkan pihak pemaju iaitu Ligamas Sdn Bhd untuk menyiap sediakan tapak surau seluas 0.56 ekar dengan kadar segera.

“Tapak itu akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tujuan pembinaan surau,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada wartawan TVSelangor.

Junainah mengharapkan agar penduduk perumahan itu dapat memberikan masa dan bersabar bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu, persatuan penduduk mendedahkan bahawa mereka sudah mendapat surat Sokongan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor bertarikh 18 Mac 2009 untuk pembinaan surau itu.

Sokongan itu juga diberikan Masjid Bandar Utama Batang Kali dalam suratnya bertarikh 21 Mac 2009.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kira-kira 1,200 penduduk di taman itu terpaksa berhimpit di dalam rumah teres satu tingkat ketika mengerjakan solat berjemaah kerana pihak berkuasa tempatan masih tidak meluluskan tapak surau bagi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.