Categories
NASIONAL

Mengapa 1MDB Beli IPP?

nga kor ming web 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Kerajaan Persekutuan harus memperjelaskan mengapa dana awam sebanyak RM 12 bilion digunakan untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP) menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berbeza dengan matlamat 1MDB yang bertujuan menjadi pemangkin kepada idea-idea baru dan pemacu pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

MP Taiping, Nga Kor Ming mempersoalkan mengapa Kerajaan Persekutuan membeli IPP biarpun mengetahui sesetengah syarikat IPP masih di bawah kajian semula dan bakal menamatkan perjanjian konsesi tidak lama lagi.

Jelasnya, keputusan itu juga meragukan kerana 1MDB dikhuatiri tidak memiliki pengalaman, kepakaran dan teknologi lengkap untuk mengendalikan loji tenaga elektrik di negara ini.

“Sumber tenaga merupakan sumber utama kepada perkembangan ekonomi dan manusia. Tiada siapa boleh ambil sambil lewa ketika mengendalikannya,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, 1MDB didakwa membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd yang dimiliki jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dengan nilai RM 8.5 bilion.

Paling mengejutkan, 1MDB didakwa menawarkan RM 1.2 bilion untuk membeli Jimah Teknik & Jimah O&M yang mempunyai rezab negatif berjumlah RM 367 juta.

“Ini bermakna jumlah liabiliti yang dimiliki mereka (Jimah Teknik & Jimah O&M) adalah lebih daripada jumlah aset,” ujar Kor Ming.

1MDB turut membeli Genting Sanyen dengan nilai RM 2.3 billion yang menyebabkan syarikat berkenaan meraih keuntungan luar biasa sebanyak RM 1.9 billion.

Sehingga tahun lalu, Kor Ming mendakwa 1MDB menjadi salah satu pengeluar utama tenaga di negara yang ternyata berbeza daripada matlamat asal penubuhannya untuk mencari sumber kepada perkembangan ekonomi di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.