Categories
NASIONAL SELANGOR

Operasi Bersepadu Kutip Hasil Tanah Sumbang Peningkatan Rizab Negeri

Kutip Hasil Tanah Sumbang Peningkatan Rizab Negeri

SHAH ALAM, 1 JUL : Faktor utama rizab negeri berjumlah RM2.8 bilion pada akhir Mei 2013 adalah disebabkan pelaksanaan operasi bersepadu mengutip hasil tanah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelaksanaan operasi ini turut mendorong kepada pertambahan kadar kutipan cukai sehingga melebihi 100 peratus.

Jelasnya, peningkatan kadar kutipan cukai dengan nilai dua kali ganda ini dijayakan melalui kutipan dari rumah ke rumah selain mengenalpasti pemilik tanah yang gagal membayar cukai.

“Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Daerah dan Tanah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah, antaranya membuka kaunter kutipan di luar pejabat Daerah dan Tanah di kawasan pedalaman.

“Kita juga turut menambah saluran atau kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan mulut daripada Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung langkah-langkah proaktif Kerajaan Negeri mengukuhkan kedudukan kewangan negeri Selangor dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Tambahnya, pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri juga berjaya membantu Pakatan Rakyat (PR) Selangor menguruskan lebihan tunai (rizab) dengan lebih efisyen di samping memberi pulangan faedah yang optimum.

Menurutnya, melalui jawatankuasa itu, Kerajaan Negeri berjaya mengutip hasil daripada faedah ke atas pelaburan sebanyak RM52 juta pada tahun 2012 berbanding RM14 juta pada tahun 2007.

“Pelaksanaan garis panduan perbelanjaan berhemah dikeluarkan Perbendaharaan Negeri Selangor membantu Kerajaan Negeri memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap pengurusan perbelanjaan,” katanya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.