Categories
NASIONAL

Ajak Pakatan ke rundingan meja bulat atasi isu berbangkit – Anwar (KEMAS KINI)

Anwar PC

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan Umno BN dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit dan merumus penyelesaian menyeluruh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan sedia mengetepi perbezaan politik demi kesejahteraan dan masa depan negara demi merumuskan penyelesaian menyeluruh.

“Semangat merdeka bukan sahaja toleransi atau kompromi. Ia mengenai pemahaman yang lebih besar, menerima perbezaan dan meningkatkan persamaan serta menggerakkan negara ke hadapan untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perutusan sempena sambutan Hari Kemerdekaan, hari ini tetapi konsisten dengan pendirian membantah sekeras-kerasnya kesahihan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Terdahulu, Anwar berkata, merdeka bermaksud bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dan negara dipacu menuju keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemuliaan insan.

“Ramai bersetuju, kita masih jauh untuk mencapainya. Justeru, apa kebaikan Merdeka seandainya asas perlembagaan dicabuli dengan sewenang-wenangnya?” katanya.

Beliau juga kesal kerana segelintir pemimpin mengeruhkan keadaan dengan mengeksploitasi agama dan isu sensitif untuk kepentingan mereka.

“Setelah 56 tahun merdeka, berlaku lebih banyak provokasi perkauman, hasutan yang menjurus kepada kebencian terhadap agama dan banyak ucapan serta penulisan berbaur hasutan disiarkan media cetak.

“Ia bukan sekadar kelemahan kepimpinan dalam menjernihkan keadaan tetapi tampak seolah-olah kerajaan menggalakkan fenomena ini menjadi lebih parah,” katanya yang merujuk tayangan sebuah fikem berbaur perkauman.

Selain itu, Anwar berkata, peningkatan kes tembakan dan jenayah berat membimbangkan manakala gejala rasuah kekal menjadi barah tanpa pendakwaan terhadap pemimpin atasan.

“Kita mendukung usaha polis memerangi dan mencegah jenayah. Penting juga untuk mereka melakukannya dengan menuruti proses sewajarnya,” katanya.

Anwar juga kesal berikutan kerajaan melaku kecurangan ekonomi dengan menyatakan fakta separa benar dan memberi statistik tidak sempurna untuk mengaburi perbelanjaan melampau.

“Penilaian Agensi Penarafan Kewangan Antarabangsa (FITCH) yang mendedahkan kemerosotan prospek ekonomi negara sewajarnya mempercepatkan kerajaan untuk lebih terbuka dalam mendepani cabaran sebenar ekonomi,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan memperlekeh penilaian itu dan menyifatkannya sebagai kerja ‘penganalisis muda yang tidak mendengar pandangan kerajaan’.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.