Categories
SELANGOR

Fuziah: Lantikan Shahrizat bazirkan wang rakyat

fuziah-shahtizatSHAH ALAM 21 OGOS – Tidak rasional dan tiada kewajaran melantik semula Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada kedudukan penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu berkaitan wanita sedangkan kredibiliti beliau terpalit dengan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) membabitkan suami dan keluarganya, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Fuziah menambah, pelantikan Shahrizat ini tiada tambah nilainya di dalam agenda wanita. Ini kerana beliau sendiri gagal memartabat dan membawa nama baik wanita sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 yang akhirnya meletakkan jawatan pada April 2012 selepas ahli keluarganya terlibat dengan kontroversi NFC.

Bercakap kepada TVSelangor, Fuziah berkata, jika benar Shahrizat dilantik, beliau akan kembali ke jawatan yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu dan wang rakyat akan dibazirkan sekali lagi untuk membayar gaji beliau sebagai seorang menteri.

“Sharizat bukan sahaja mempunyai latar belakang berkaitan skandal lembu NFC, beliau juga adalah seorang menteri yang meletakkan jawatan.

“Jadi tidak wajar beliau dilantik kepada kedudukan penasihat khas Perdana Menteri dalam hal ehwal wanita. Pelantikan ini juga hanya membazir wang pembayar cukai dan rakyat.

“Yang saya lihat hanya akan menghabiskan duit rakyat untuk membayar gaji seseorang yang tidak layak untuk memegang jawatan ini, ” katanya.

Fuziah turut berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, perlu berpendirian teguh untuk memerangi rasuah dan sebaiknya membatalkan hasrat pelantikan tersebut.

Tambah beliau, tiada keperluan melantik Shahrizat sebagai penasihat khas sedangkan lebih ramai lagi wakil wanita yang selayaknya dilantik ke jawatan itu.

“Seorang pemimpin seperti Shahrizat adalah umpama berada dihujung karier politiknya dan rakyat tidak akan rugi membayar gaji beliau sebagai menteri.

“Tak perlu lantik Shahrizat. Ramai lagi calon wanita yang layak dan Najib juga mempunyai penasihat berkaitan wanita di dalam Kementerian Wanita dan Keluarga yang di pegang oleh Rohani Karim,” ujar Fuziah

Shahrizat juga pernah dilantik senator selepas kalah dalam PRU 12 lalu di Parlimen Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial pada 2008.

Beliau juga dijangka akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Umno yang dijadualkan pada 12 Oktober depan.

– mza

Leave a Reply

Your email address will not be published.