Categories
NASIONAL

Beri pelabur asing kuasa besar, KPRU desak bentang isi rundingan TPPA

Logo KPRU

SHAH ALAM 13 OGOS: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal memberi kuasa keterlaluan kepada pelabur asing atas nama ‘perdagangan’ hingga meminggirkan kepentingan negara.

Mengikut Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), pelabur asing boleh mencabar kerajaan mengikut saluran undang-undang jika sistem perundangan atau dasar sesebuah negara menjejaskan kepentingan mereka.

Ia berikutan, katanya, Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) memperuntuk klausa yang menganugerah kuasa dan hak undang-undang lebih besar kepada entiti perniagaan asing atau syarikat antarabangsa.

Malah, kata KPRU, klausa itu juga memberi hak kepada pelabur asing untuk menuntut pampasan kewangan tanpa had melalui tribunal timbang-tara antarabangsa.

“Apakah rasional kerajaan menyertai suatu perjanjian yang memberi kuasa yang keterlaluan kepada syarikat asing bagi mencabar undang-undang dan peraturan negara kita di luar mahkamah domestik?” kata KPRU.

KPRU hari ini menerbitkan artikel bertajuk ‘Miti wajar bentang laporan di Parlimen pada 23 September’ berikutan isu TPPA menjadi kontorversi kebelakangan ini.

Rundingan ke-18 TPPA berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah antara 15 hingga 25 Julai lalu dan rundingan seterusnya dibuat di Brunei dari 22 hingga 30 Ogos ini.

Pada artikel itu, KPRU kesal berikutan kerajaan membuka pintu dan menerima kemasukan industri yang berisiko tinggi tanpa mengambil kira keutamaan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Antara yang mendukacitakan ialah pelaburan dan kemasukan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan; kilang perlombongan emas yang menggunakan cyanide di Bukit Koman, Kuo Kuang di Pengerang dan sebagainya.

“Pembabitan Malaysia dalam rundingan TPPA seakan-akan menyerahkan diri ke tangan pihak luar untuk menentukan nasibnya.

“Apakah kepentingan rakyat akan diutamakan dan terbela jika TPPA ditandatangani dan dimuktamadkan nanti?” katanya.

KPRU menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membentang perkembangan rundingan pada sidang Parlimen akan datang bagi merungkai kebimbangan masyarakat.

Kata badan itu, kebimbangan dizahirkan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan rundingan dijalankan secara ‘penuh rahsia’.

“Apabila berdepan dengan kontroversi, kerajaan harus lebih bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat yang berhak mengetahui status dan pendirian negara berkenaan rundingan itu.

“Laporan sedemikian mustahak bagi mengetengahkan dan menjamin kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.