Categories
NASIONAL

Penduduk Dakwa Projek Litar Basikal Seksyen 4 Punca Jenayah Meningkat

Litar Basikal Seksyen 4 Punca Jenayah Meningkat

SHAH ALAM 2 OGOS : Pembinaan litar basikal oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan perumahan Seksyen 4 di sini didakwa menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan itu apabila kerap berlaku kes kecurian dan pecah rumah di situ.

Seorang penduduk yang menjadi mangsa, Nadzham Ahmad Nasir, 38, menjelaskan penduduk di kawasan perumahan itu kini bimbang dengan keselamatan diri mereka kerana projek itu dalam proses pembinaan bermula Jun lalu hingga Disember depan.

Beliau berkata, dia sendiri mengalami kerugian antara RM30,000 ke RM40,000 apabila rumahnya dipecah masuk pada 19 Julai lalu dengan barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, wang ringgit dan yang lain dilarikan.

Tambahnya, penduduk percaya kes kecurian dan pecah rumah yang berlaku di kawasan itu melibatkan warga asing yang menjalankan pelbagai kerja pembinaan lain di samping litar basikal itu.

“Kita buat kumpulan Rukun Tetangga kecil bagi memantau keadaan ini dan dalam kes pecah rumah baru ini, kita tak nampak kelibat kenderaan atau orang luar masuk.

“Maka kita yakin yang terlibat dalam perkara ini ialah pekerja warga asing yang membuat ubahsuai rumah serta longkang yang dijalankan MBSA,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, penduduk juga mempersoalkan pembinaan litar basikal itu yang didakwa dibuat MBSA tanpa perbincangan dan persetujuan mereka.

Katanya lagi, peruntukan RM6 juta untuk projek itu turut dipersoalkan kerana pembinaannya yang tidak lengkap dengan lampu.

“Litar juga dibina di belakang rumah penduduk yang dianggap tidak sesuai dengan bersambung laluan jalan raya dan ia juga tidak digunakan penunggang basikal sepenuhnya,” dakwanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, MBSA perlu meneliti pembinaan litar basikal itu demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan itu.

“Isunya pembinaan litar tersebut tidak dibincang dan mendapat persetujuan penduduk.

“Kalau nak buat litar basikal bagi tujuan riadah, mengapa tidak dibina berhampiran dengan kawasan tasik untuk kemudahan semua.

“Jika dibina bagi tujuan biasa, mungkin boleh dibina bersebelahan laluan jalan raya utama dan bukannya di belakang rumah penduduk,” katanya.

Khalid berharap masalah itu akan mendapat perhatian MBSA dan dapat diselesaikan dengan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published.