Categories
SELANGOR

Krisis Mesir: Kerajaan Malaysia Tidak Wajar Diam Diri

khalid samad white pc 011

SHAH ALAM 2 OGOS : Malaysia perlu menyatakan pendirian berhubung pencerobohan tentera di Mesir yang menyebabkan kejatuhan Presiden Mohammed Morsi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan Malaysia tidak sewajarnya terus berdiam diri dalam perkara ini kerana pergolakan di negara itu kini mengorbankan ratusan nyawa rakyatnya.

Katanya, berdasarkan sokongan ditunjukkan adalah jelas rakyat negara itu mahu Dr Morsi dikembalikan sebagai Presiden Mesir.

“Kita meminta kerajaan Malaysia bagi memainkan peranannya dan menggunakan apa juga pengaruh yang ada untuk mempengaruhi kerajaan tentera Mesir untuk kembalikan negara itu kepada landasan demokrasi yang diasaskan semula oleh Dr Morsi.

“Apabila kerajaan Malaysia berdiam diri nampak seolah-olah kita boleh terima amalan rampasan kuasa itu dan akibat daripadanya ialah tekanan yang hebat dikenakan kepada umat Islam di Gaza, Palestin,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurutnya, maklumat diperoleh yang boleh dipercayai ialah rampasan kuasa itu didalangi hasil campurtangan Israel dan Amerika Syarikat yang tidak mahu Mesir menikmati sistem demokrasi yang akan menyebabkan golongan Islamis untuk berkuasa.

Katanya, PAS telah menghantar seorang wakil, Dr Syed Azman ke Mesir dan kini bersama dengan penunjuk perasaan di negara tersebut.

“Ia adalah sebagai tanda sokongan PAS terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.