Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Respek’, kerajaan pinggir maruah bahasa

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Pihak Kerajaan digesa merujuk kepada pakar bahasa dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebelum memilih sebarang istilah untuk dijadikan tema agar tepat penggunaannya.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kayvan, Uthaya Shankar SB, berkata ‘membelakangkan’ pandangan pakar bahasa dan DBP disifatkan tindakan ‘membunuh’ bahasa itu sendiri yang tidak sepatutnya berlaku.

Baru-baru ini kerajaan memilih untuk menggunakan perkataan ‘respek’ untuk tema sambutan Hari Wanita 2013 iaitu ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’.

“Ia memberikan gambaran bahawa kita sendiri tidak memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Sedangkan istilah yang setara dan sama maksudnya sudah wujud dalam bahasa Melayu seperti ‘respek wanita’ sepatutnya boleh menggunakan ‘hormati wanita’,” kata Uthaya ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya, tindakan menuding jari terhadap DBP setiap kali berlakunya isu bahasa adalah tidak adil kerana pihak terbabit sewajarnya membuat rujukan dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Macam isu ‘respek’ ini, saya percaya mereka tidak merujuk kepada DBP atau pakar bahasa.

“Sepatutnya apabila mereka sedar sudah lemah dalam penggunaan bahasa, maka patut merujuk kepada pakar bahasa yang mencintai bahasa bagi mendapatkan pandangan yang terbaik,” kata beliau.

Katanya, tidak ada keperluan untuk menggunakan perkataan ‘respek’ walaupun ia wujud dalam kamus kerana istilah ‘hormat’ sudah lama wujud dan lebih sesuai digunakan.

“Secara umumnya kementerian dan kerajaan tidak merujuk kepada pakar bahasa, jika mereka merujuk sudah tentu ia tidak akan mendatangkan masalah.

“Rujuklah pakar bahasa sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata, DBP mempunyai kuasa untuk memantau penggunaan bahasa di negara ini dan membuat teguran terhadap pihak terbabit jika berlakunya kesalahan penggunaan tatabahasa.

“Namun DBP mempunyai kuasa terhad kerana diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan yang kedudukannya agak rendah sehingga sukar untuk membuat teguran terhadap pihak Perdana Menteri atau Menteri terbabit,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Pengarang dan Penulis Terkenal, Nisah Haron di dalam komen di laman Facebook berkata, perkataan seperti ‘respek’, ‘bajet’, malah ‘rempit’ juga ada dalam kamus.

“Namun, kita harus bijak memilih situasi yang sesuai untuk menggunakannya.

“Apabila kata-kata yang mudah juga diperlekeh seperti ejaan dalam media sosial yang dieja berleluasa, kesannya kelompok yang demikian sudah pun berada di dalam arus perdana, menjawat jawatan penting dan mengalirkan sikap mereka terhadap bahasa dalam tugas-tugas rasmi.

“Sudah tidak boleh dibezakan situasi rasmi dan tidak rasmi lagi,” katanya.

Beliau berkata, menyalahkan pihak DBP sahaja apabila timbul isu bahasa adalah tidak wajar.

“Kerja mendidik masyarakat termasuk kementerian dan menteri-menterinya perlu diteruskan dengan tekal. Ini tugas setiap anggota masyarakat.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Mari betulkan bahasa kita semua dahulu. Jika kita semua menjaga bahasa masing-masing, generasi yang seterusnya akan bertambah baik,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.