Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Wujudkan rumah perlindungan wanita mualaf

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 26 OGOS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor(PEKAWANIS) mahu kerjasama Kerajaan Negeri mewujudkan rumah perlindungan bagi golongan wanita mualaf.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hal itu supaya golongan wanita terbela dalam pelbagai isu khususnya mangsa keganasan rumahtangga.

“Saya menerima beberapa aduan berhubung perkara ini yang meminta kita membantu saudara baru ini dari ditindas suami atau bekas suami mereka.

“Kita sedar isu ini bukan isu baru dan wanita yang menjadi mangsa keganasan ini semakin berani menegakkan keadilan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Shamsida berkata, walaupun banyak rumah perlindungan sudah diwujudkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) namun tidak salah sekiranya ia diwujudkan di bawah kelolaan PEKAWANIS seperti rumah perlindungan remaja Puteri Arafiah.

Pada masa sama, katanya, saudara baru ini dapat menyertai pelbagai program keagamaan dan dakwah di rumah perlindungan itu nanti.

“Kita sering terlupa bahawa masih terdapat saudara seagama bergelar mualaf tidak diterapkan dakwah susulan terhadap pendidikan dan pengisian keimanan mereka.

“Oleh itu, disamping kita membantu dari sudut itu, mereka juga dapat memantapkan kefahaman Islam peserta dengan lebih mendalam.

“Selain memupuk semangat kekeluargaan, turut menjadi platform kepada peserta mendalami Islam. Dengan cara ini mereka dapat mendalami pelajaran agama Islam yang dikendalikan oleh guru bertauliah,” katanya.

Selain itu, beliau turut mahu pembangunan dan kebajikan wanita negeri diberi perhatian khusus dalam Belanjawan Negeri 2018 nanti.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Respek’, kerajaan pinggir maruah bahasa

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Pihak Kerajaan digesa merujuk kepada pakar bahasa dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebelum memilih sebarang istilah untuk dijadikan tema agar tepat penggunaannya.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kayvan, Uthaya Shankar SB, berkata ‘membelakangkan’ pandangan pakar bahasa dan DBP disifatkan tindakan ‘membunuh’ bahasa itu sendiri yang tidak sepatutnya berlaku.

Baru-baru ini kerajaan memilih untuk menggunakan perkataan ‘respek’ untuk tema sambutan Hari Wanita 2013 iaitu ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’.

“Ia memberikan gambaran bahawa kita sendiri tidak memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Sedangkan istilah yang setara dan sama maksudnya sudah wujud dalam bahasa Melayu seperti ‘respek wanita’ sepatutnya boleh menggunakan ‘hormati wanita’,” kata Uthaya ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya, tindakan menuding jari terhadap DBP setiap kali berlakunya isu bahasa adalah tidak adil kerana pihak terbabit sewajarnya membuat rujukan dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Macam isu ‘respek’ ini, saya percaya mereka tidak merujuk kepada DBP atau pakar bahasa.

“Sepatutnya apabila mereka sedar sudah lemah dalam penggunaan bahasa, maka patut merujuk kepada pakar bahasa yang mencintai bahasa bagi mendapatkan pandangan yang terbaik,” kata beliau.

Katanya, tidak ada keperluan untuk menggunakan perkataan ‘respek’ walaupun ia wujud dalam kamus kerana istilah ‘hormat’ sudah lama wujud dan lebih sesuai digunakan.

“Secara umumnya kementerian dan kerajaan tidak merujuk kepada pakar bahasa, jika mereka merujuk sudah tentu ia tidak akan mendatangkan masalah.

“Rujuklah pakar bahasa sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata, DBP mempunyai kuasa untuk memantau penggunaan bahasa di negara ini dan membuat teguran terhadap pihak terbabit jika berlakunya kesalahan penggunaan tatabahasa.

“Namun DBP mempunyai kuasa terhad kerana diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan yang kedudukannya agak rendah sehingga sukar untuk membuat teguran terhadap pihak Perdana Menteri atau Menteri terbabit,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Pengarang dan Penulis Terkenal, Nisah Haron di dalam komen di laman Facebook berkata, perkataan seperti ‘respek’, ‘bajet’, malah ‘rempit’ juga ada dalam kamus.

“Namun, kita harus bijak memilih situasi yang sesuai untuk menggunakannya.

“Apabila kata-kata yang mudah juga diperlekeh seperti ejaan dalam media sosial yang dieja berleluasa, kesannya kelompok yang demikian sudah pun berada di dalam arus perdana, menjawat jawatan penting dan mengalirkan sikap mereka terhadap bahasa dalam tugas-tugas rasmi.

“Sudah tidak boleh dibezakan situasi rasmi dan tidak rasmi lagi,” katanya.

Beliau berkata, menyalahkan pihak DBP sahaja apabila timbul isu bahasa adalah tidak wajar.

“Kerja mendidik masyarakat termasuk kementerian dan menteri-menterinya perlu diteruskan dengan tekal. Ini tugas setiap anggota masyarakat.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Mari betulkan bahasa kita semua dahulu. Jika kita semua menjaga bahasa masing-masing, generasi yang seterusnya akan bertambah baik,” kata beliau.