Categories
NASIONAL SELANGOR

Swastakan MAS atau ulangi serah pada kroni

MAS-Wong Chen

SHAH ALAM, 19 OGOS : PKR bimbang dengan usaha kerajaan cuba menswastakan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang akhirnya akan diserahkan kepada kroni pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk membina kekayaan segera.

Akhirnya, apabila syarikat penerbangan tersebut mengalami kerugian, wang rakyat akan digunakan untuk ‘bail out’ bagi menyelamatkan para kroni tersebut.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR, Wong Chen berkata langkah penswastaan itu tidak perlu dilakukan sekiranya kajian mendapati MAS masih boleh diselamatkan dengan mengambil langkah-langkah tertentu yang dicadangkan juruaudit dan penasihat perniagaan profesional yang dilantik.

Kerajaan perlu menjalankan kajian dan analisis mendalam samada syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Bhd (MAS) masih mampu diselamatkan sebelum mengambil keputusan menjual syarikat itu kepada pihak ketiga.

Katanya, analisis yang dijalankan penasihat profesional dan para juru audit itu diperlukan bagi mengelakkan pegangan saham MAS jatuh ke tangan orang yang salah sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Secara prinsipnya penswastaan itu baik tetapi kalau jual pada orang yang salah dan para kroni seperti (bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli, habislah, kita akan kena ‘bailout’ sekali lagi nanti.

“Kalau perlu dijual, kena masukkan urus tadbir yang betul, pastikan syarikat ini boleh berdiri sendiri tanpa sokongan daripada kerajaan”, kata beliau ketika di hubungi.

“Penswastaan itu harus dilakukan secara tender terbuka, jangan bagi kepada Syed Mokhtar dan prosesnya perlu dikawal ketat dan sebelum penswastaan dilakukan mesti benarkan juru audit dan penasihat profesional masuk, dedahkan mengapa MAS ini tidak boleh berjaya,” kata Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya.

Tambah Wong Chen lagi, kerajaan juga harus memantau agar kadar tambang penerbangan berada di tahap yang munasabah dan liputan penerbangan ke kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak diteruskan sekiranya mereka menswastakan MAS.

Sebelum ini dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataannya mencadangkan supaya kerajaan keluar dari industri penerbangan dengan cara menjual MAS.

Bagaimanapun menurut Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Alias Aziz cadangan menjual MAS kepada pihak ketiga tidak akan menyelesaikan masalah syarikat itu secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan sewajarnya memberi kuasa autonomi kepada pengurusan MAS bagi menyelamatkan syarikat itu dari terus dibelenggu masalah kewangan.

Untuk rekod, pada 2001, ketika Tajuddin menjawat CEO MAS, kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat penerbangan kebangaan negara itu dengan membeli semula sahamnya pada harga RM8 sesaham dengan kos keseluruhan RM8 bilion pada ketika harga pasaran sebenar RM3.68 sesaham.

Tindakan itu akhirnya mengundang kemarahan rakyat apabila mendapati pada masa yang sama kerajaan bertindak mengurangkan subsidi terhadap barangan keperluan harian dan petrol.

– MZA

Leave a Reply

Your email address will not be published.