Categories
NASIONAL SELANGOR

1.2 juta rakyat Selangor terima manfaat MES

iskandar samad pink 01AMPANG, 11 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM984 juta dari Mac 2008 hingga Mei 2013 bagi melaksanakan program dan dasar yang terangkum dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Perbelanjaan itu berjaya memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta rakyat Selangor melalui program MES yang dilancarkan Kerajaan Negeri sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran negeri 2008 lalu.

“Kita telah laksanakan lebih dari itu (Manifesto 2008), contohnya kita tak janji program Jom Shopping dalam manifesto tetapi kita buat, bantuan baik pulih pangsapuri bawah Program Ceria dan skim Rondaan Keselamatan Kejiranan (Skim Seroja) juga tidak dijanjikan tetapi kita laksanakan,” kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad di Majlis Dialog Manifesto Kerajaan Negeri Selangor 2013 Bersama Rakyat Peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya 9 September lepas.

Iskandar menambah, Kerajaan Negeri yang ada hari ini juga dijangka mampu melaksanakan program dan dasar dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam PRU-13 lalu lebih berkesan berbanding perlaksanaan manifesto PRU-12 pada 2008.

Keyakinan itu diluahkan berikutan ketika ini PR Selangor memiliki akses berhubung kemampuan ekonomi dan kewangan Kerajaan Negeri berbanding sebelum 2008.

Dalam majlis dialog malam tadi, Kerajaan Negeri sekali lagi meneruskan tradisi tahun-tahun sebelumnya dengan mengadakan dialog belanjawan tahunan untuk mendapatkan maklum balas masyarakat umum sebelum merangka Belanjawan 2014 negeri itu.

Majis dialog yang diadakan di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor itu dihadiri pemimpin-pemimpin tempatan seperti Wakil Rakyat, Ketua Kampung, Pengerusi Persatuan Penduduk, Ahli Majlis, wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published.