Categories
SELANGOR

Enggan beri kerjasama, KEMAS berdiam diri

tunas

PETALING JAYA SELATAN, 11 SEPT : Adun Taman Medan Haniza Talha kecewa dengan birokrasi pihak atasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) yang masih belum membuat keputusan berhubung penyertaan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) Kemas dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS).

Menurutnya, soal bantuan kepada murid-murid pra-sekolah patut dititikberatkan kerana kanak-kanak seawal umur 0 hingga 5 tahun adalah masa yang paling sesuai untuk diberikan pembelajaran awal.

“Saya sendiri telah pergi ke tadika perpaduan KEMAS untuk meminta diedarkan borang bagi permohonan TUNAS ini kerana kebanyakkan murid-muridnya terdiri dari golongan yang berpendapatan rendah dan layak untuk memohon bantuan ini.

“Namun demikian, pihak pengurusan tidak boleh memberikan persetujuan kerana belum mendapat maklum balas dari pihak atasan KEMAS,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan TUNAS, 10 September lepas.

TUNAS adalah satu lagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bantuan yuran sebanyak RM50, setiap bulan kepada kanak-kanak tadika yang layak. Bantuan disalurkan terus kepada TADIKA yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor.

Dalam majlis tersebut seramai 43 pelajar terdiri dari 4 buah sekolah menerima sumbangan Program Tunas.

Sementara itu, Haniza berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan program yang membantu tenaga pengajar pra-sekolah merangka pembelajaran yang lebih efektif. Beliau tertarik dengan kaedah pembelajaran di negara maju yang menawarkan tenaga pengajar berkelulusan tinggi untuk pengajaran kanak-kanak pra-sekolah.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat menyediakan satu program yang bukan sahaja membantu dari segi keperluan perbelanjaan malah dapat membantu bagi merangka struktur pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan supaya pra-sekolah tidak lagi dilihat hanya sebagai sekolah untuk murid-muridnya menyanyi dan menari,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.