Categories
SELANGOR

MB: Flat Taman Permata, Kerajaan Pusat belum respon

flat taman permata 02

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung pembinaan rumah teres seperti yang dijanjikan kepada 400 penghuni sementara di Pangsapuri Kos Rendah Taman Permata, Dengkil.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti kawasan sesuai bagi membina rumah teres berkenaan dengan peruntukan tanah seluas 30 ekar.

flat taman permata 01Namun katanya, ia tidak dapat direalisasikan sekiranya Kerajaan Pusat masih berdolak-dalik berhubung perkara itu.

“Exco telah meneliti perkara berkenaan dan surat kepada Kerajaan Pusat juga sudah dikeluarkan untuk memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil 30 ekar tanah sebagai tapak bagi membina kediaman mereka (penduduk) yang berada di sana.

“Tetapi sehingga hari ini, Kerajaan Pusat masih belum memberi sebarang kata putus untuk membina rumah teres seperti yang dijanjikan pada 13 tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sejak dipindahkan ke pangsapuri terbabit pada 1999 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya, penduduk dijanjikan rumah teres sebagai rumah alternatif mereka.

Namun, setelah lebih 13 tahun berlalu, pangsapuri yang sepatutnya menjadi rumah transit mereka kini sudah menjadi rumah tetap.

Malah, penduduk bertambah bimbang apabila rumah transit itu tidak boleh diduduki dengan selamat akibat tanah mendap, terlalu hampir dengan saluran paip gas, sistem perparitan tidak sempurna, saliran air kumbahan pecah dan bangunan rumah retak.

flat taman permata 03Kesemua penduduk di pangsapuri berkenaan adalah bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Sebagai langkah sementara, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk memperbaiki kediaman (pangsapuri) sedia ada melalui peruntukan RM500,000 yang diumumkan Ogos lalu.

Beliau berkata, tender untuk pelaksanaan kerja-kerja pembaikan itu juga sudah dikeluarkan dan penerima tender itu hanya akan diketahui minggu depan.

“Kita diberitahu tender sudah keluar dan mingu depan kita akan terima siapa yang akan laksanakan pembaikan tersebut.

“Walaupun sudah ada tanah, kita perlu tunggu antara 18 hingga 24 bulan untuk membina kediaman (baru) tersebut sebelum pemindahan dapat dilakukan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.