Categories
SELANGOR

Penghantaran memorandum, MB amal sikap terbuka dan telus

khalidSHAH ALAM 23 OKT : Penghantaran memorandum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan memberikan tekanan kepada pentadbiran beliau dan kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata, beliau terbuka untuk menerima memorandum daripada pelbagai pihak dan sebelum itu sudah menerima banyak memorandum yang dihantar kepadanya dan kerajaan negeri.

Katanya, beliau mengamalkan sifat terbuka, telus dan bertanggungjawab supaya pembangunan serta pengurusan dana kerajaan negeri diurus dengan baik.

“Saya terbuka dengan memorandum yang dihantar daripada pelbagai pihak. Untuk isu tanah, saya sudah terima lebih 170 memorandum dan itu adalah lumrah bagi setiap pemimpin.

“Kerana mengamalkan pentadbiran telus dan terbuka, saya perlu menjawab bukan sahaja kepada rakyat dan pembangkang negeri tetapi kepada rakan ‘sepasukan’,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, teguran dan saranan yang dikemukakan daripada ADUN, Ahli Parlimen dan rakyat adalah budaya baru di Selangor.

“Adakala, ADUN dan Ahli Parlimen menulis surat individu kepada saya dan menerimanya yang mewakili kumpulan dan kawasan mereka serta NGO yang disertai.

“Semua pihak harus sedar, keputusan kita tidak 100 peratus betul, tetapi disebabkan kita menerima ketelusan maka kita perbetulkan apa yang silap,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.