Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: RM50 juta laksana program atasi pengangguran belia

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT – Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memperuntukkan RM50 juta untuk melaksanakan beberapa langkah membantu golongan belia bertujuan mengurangkan kadar pengangguran membabitkan kira-kira tiga peratus kadar pengangguran negara.

Belanjawan berkenaan mensasarkan peningkatan peluang dan kebolehpasaran belia dalam kumpulan umur 15 hingga 29 tahun bagi mengurangkan ketidaksepadanan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan, selain membantu belia membuat keputusan lebih baik berkenaan masa depan mereka.

Usaha itu perlu dilakukan membabitkan penganjuran program bimbingan kerjaya untuk belia di sekolah, institusi latihan vokasional dan institusi pengajian tinggi dengan kerjasama bakal majikan dan penyedia pendidikan.

Bagi sektor awam dan swasta, semua majikan digalak untuk menyediakan latihan atau program latihan industri seperti “Program Penyesuaian Pelajar” sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membolehkan belia mendapat pengalaman dan pendedahan terhadap dunia pekerjaan.

Selain itu, penganjuran program hari kerjaya peringkat kebangsaan perlu dilanjurkan dengan lebih kerap bagi memudahkan belia mencari peluang pekerjaan dan menubuhkan “Pusat Pekerjaan” di setiap daerah bagi proses penempatan kerja dalam jangka masa panjang.

PR turut mencadangkan penganjuran bengkel keusahawanan yang dikhaskan untuk golongan belia dalam usaha pembangunan usahawan muda negara, selain mewujudkan kerjasama lebih erat dengan institusi kewangan seperti SME Bank untuk memberi kredit mikro sebagai modal permulaan perniagaan.

Tawaran insentif cukai dan bukan cukai perlu dislaurkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mendorong pekerjaan dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam tenaga kerja seperti potongan cukai dua kali bagi syarikat yang mengupah golongan berkenaan, selain melatih mereka untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Penekanan terhadap kemahiran teknikal dan sikap yang betul bagi mendapat kerja perlu dibuat supaya institusi pendidikan tidak terlalu memberi tumpuan kepada kelayakan kertas tetapi menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti yang diperlukan pasaran kerja.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.