Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: RM50 juta laksana program atasi pengangguran belia

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT – Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memperuntukkan RM50 juta untuk melaksanakan beberapa langkah membantu golongan belia bertujuan mengurangkan kadar pengangguran membabitkan kira-kira tiga peratus kadar pengangguran negara.

Belanjawan berkenaan mensasarkan peningkatan peluang dan kebolehpasaran belia dalam kumpulan umur 15 hingga 29 tahun bagi mengurangkan ketidaksepadanan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan, selain membantu belia membuat keputusan lebih baik berkenaan masa depan mereka.

Usaha itu perlu dilakukan membabitkan penganjuran program bimbingan kerjaya untuk belia di sekolah, institusi latihan vokasional dan institusi pengajian tinggi dengan kerjasama bakal majikan dan penyedia pendidikan.

Bagi sektor awam dan swasta, semua majikan digalak untuk menyediakan latihan atau program latihan industri seperti “Program Penyesuaian Pelajar” sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membolehkan belia mendapat pengalaman dan pendedahan terhadap dunia pekerjaan.

Selain itu, penganjuran program hari kerjaya peringkat kebangsaan perlu dilanjurkan dengan lebih kerap bagi memudahkan belia mencari peluang pekerjaan dan menubuhkan “Pusat Pekerjaan” di setiap daerah bagi proses penempatan kerja dalam jangka masa panjang.

PR turut mencadangkan penganjuran bengkel keusahawanan yang dikhaskan untuk golongan belia dalam usaha pembangunan usahawan muda negara, selain mewujudkan kerjasama lebih erat dengan institusi kewangan seperti SME Bank untuk memberi kredit mikro sebagai modal permulaan perniagaan.

Tawaran insentif cukai dan bukan cukai perlu dislaurkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mendorong pekerjaan dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam tenaga kerja seperti potongan cukai dua kali bagi syarikat yang mengupah golongan berkenaan, selain melatih mereka untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Penekanan terhadap kemahiran teknikal dan sikap yang betul bagi mendapat kerja perlu dibuat supaya institusi pendidikan tidak terlalu memberi tumpuan kepada kelayakan kertas tetapi menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti yang diperlukan pasaran kerja.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Rumah Mampu Milik Pasang Siap Selangor Tidak Melebihi RM100,000

MB Bengkel 02

SHAH ALAM 8 FEB : Pakar dari dalam dan luar negara akan dipanggil Kerajaan Negeri berhubung pembinaan projek ?Rumah Mampu Milik Pasang Siap? yang mula dilaksanakan menerusi Belanjawan 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pakar-pakar luar negara dari United Kingdom dan Jepun itu akan diminta memberikan pendapat dan cadangan dalam penyediaan rumah itu nanti dengan cara yang terbaik.

Katanya, hasil pembinaan itu, rakyat akan dapat menikmati dengan harga yang murah iaitu tidak melebihi RM100,000.

“Di Selangor, khusunya Shah Alam, harga tanah semasa tinggi, setiap lima tahun tanah yang berharga RM10 sekaki akan menjadi RM30 sekaki, kalau harga tanah tinggi lagi ramai yang mahu membelinya.

“Jadi untuk rakyat yang tidak mampu, itu kita akan sediakan mereka rumah mampu milik. Dan menjadi polisi Kerajaan Negeri, setiap pembangunan tanah di 10 ekar tanah, mestilah mempunyai projek pembinaan rumah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Bengkel Pengurusan Tanah negeri bagi tahun 2008-2012 .

Hadir sama Pengarah PTGS, Datuk Kamarulzaman Jamil dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

November lalu, dalam sidang Dewan Negeri (DNS) sejumlah RM50 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik melalui projek ?Rumah Mampu Milik Pasang Siap? (Prefabricated Packages Home) yang bakal dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mulai ini menerusi Belanjawan 2013.

Inisiatif itu bertujuan membantu rakyat yang terbeban dengan harga rumah yang melambung di pasaran pada ketika ini.

Projek itu diyakini mampu memberi keseimbangan terhadap harga tinggi dalam trend lonjakan harga rumah kesan daripada penawaran dan permintaan pasaran akibat pengambilan untung yang keterlaluan dikalangan pemaju.

Melalui projek itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbaiki kesan-kesan harga pasaran yang terjadi akibat aktiviti persaingan spekulasi dalam perniagaan hartanah.