Categories
SELANGOR

Best Western bangunkan hotel di I-City

i-city

SHAH ALAM 16 OKTOBER : Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik inisiatif usahasama strategik I-Berhad dan Best Western International (BWI) dalam usaha membangunkan pembangunan hotel yang pertama di I-City Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jalinan kerjasama dalam pembinaan hotel itu akan mengubah lanskap bandaraya Shah Alam.

“Ini menetapkan tanda aras perkembangan yang baru kepada Shah Alam dan kawasan sekitar dan hasil perjanjian ini bakal memenuhi keperluan pelabur asing seterusnya menukar landskap Shah Alam kepada Bandaraya Antarabangsa.

“Jika sebelum ini Shah Alam terkenal dengan industri perkilangan, tetapi selepas ini ia juga terkenal dengan industri perlancongan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara i-City dan Best Western International, di sini.

Best Western International menguasahakan jenama hotel Best Western dan merupakan rangkaian hotel terbesar di dunia dengan 4,195 hotel di lebih 100 negara.

MOU itu ditandatangani oleh Naib Pengerusi I Berhad, Datuk Eu Hong Chew dan Naib Presiden Operasi Antarabangsa Asia dan Timur Tengah BWI, Glenn de Souza sambil diperhatikan Abdul Khalid.

Pembinaan hotel di atas 72 ekar tanah itu membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM50 juta.

Ia akan dijalankan secara berperingkat termasuk 826 unit Services Suites yang dijangka siap pada 2016 manakala 216 bilik hotel dijangka siap pada suku tahun ketiga 2014.

Dengan pembukaan hotel itu, ia dijangka akan menambah bilangan pengunjung ke I City.

Sebelum ini, syarikat gergasi Thailand, Central Pattana melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Sementara itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk menaiktaraf kemudahan infrastuktur di kawasan sekitar.

Sebelum ini, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan memaklumkan satu persimpangan yang menyambungkan Lebuhraya Persekutuan dengan Shah Alam sedang dalam pembinaan dan dijangka mampu memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk bandar raya Shah Alam, terutamanya di Seksyen 7.

Persimpangan itu bakal menjadi laluan alternatif untuk keluar masuk ke Seksyen 7, selain turut menjadi pintu masuk ke i-City dari Kelang.

Dengan kemudahan infrastruktur terbaharu itu, Shah Alam dijangka akan menjadi lebih urban selain memainkan peranan penting di dalam pelan induk Greater Kuala Lumpur.

Selain persimpangan yang bakal siap September ini, terdapat sebuah hospital dengan 300 katil yang masih dalam pembinaan di atas tanah seluas 25 ekar berhampiran i-City.

Leave a Reply

Your email address will not be published.