Categories
PBT SELANGOR

Datuk Bandar Shah Alam fokus enam teras beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 15 JUN: Datuk Bandar Shah Alam yang baharu memfokus enam teras bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberi kepada penduduk dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Enam teras itu adalah pemantapan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan kewangan dengan meningkatkan kutipan dan mengukuhkan pembangunan infrastruktur, mendekati pemegang taruh serta masyarakat dengan norma baharu, pembudayaan teknologi maklumat dan memperkasa sumber manusia.

Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata menerusi teras pertama beliau mahu MBSA memantau pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapangan kerana menjadi sensitiviti masyarakat sekiranya kerja berkenaan tidak dilaksana dengan baik.

“Kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan, pemotongan rumput, pengindahan landskap, pembersihan longkang, parit erong, sapuan kawasan serta kutipan sampah pukal di kawasan pentadbiran MBSA perlu dibuat secara konsisten,” katanya selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam kesembilan di sini, hari ini.

Menurut Zamani Ahmad, beliau juga mahu memastikan setiap projek dirancang rapi bagi memberi kesan baik selain memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri mengukuhkan pembangunan infrastruktur di bandaraya itu.

“Harus disusuli kajian dan cadangan menyeluruh bagi mengekalkan kelestarian warga, sektor ekonomi tempatan, pemangkin segmen pelancongan domestik, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan bandar khususnya,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga akan menambah perkhidmatan dalam talian termasuk penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) seiring matlamat Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025 serta amalan norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Datuk Bandar Shah Alam dilantik pegawai kewangan negeri

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim dilantik sebagai pegawai kewangan negeri.

Perkara itu disahkan menerusi Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Haris Kasim di atas pelantikan sebagai pegawai kewangan negeri Selangor,” tulisnya.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa 3 Februari lepas.

Sebelum Datuk Bandar, Haris pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Januari 2015 dan menyandang jawatan Pegawai Daerah Hulu Langat.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor dari tahun 2005 hingga 2011; Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (2011); dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (2012 hingga 2014).

Categories
SELANGOR

Datuk Bandar Shah Alam baharu tumpu lima agenda utama

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Lima agenda utama menjadi tumpuan Datuk Bandar Shah Alam baharu, selaras visi menjadikan bandar raya itu lebih berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

Dato’ Haris Kasim berkata, agenda pertama ialah menumpukan perkhidmatan perbandaran terutama pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Katanya, hal itu kerana isu terbabit menjadi sensitiviti masyarakat jika tidak dilaksanakan dengan baik.

“Kedua, saya mahu MBSA mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang kerana menjadi kewajipan untuk mengambil maklum masalah dihadapi pembayar cukai supaya dapat menyenangi mereka dengan konsep ‘face to face’.

“MBSA juga akan mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi dan ia akan diterapkan melalui agenda ketiga,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Shah Alam, di Wisma MBSA hari ini.

Haris berkata, melalui agenda keempat, MBSA juga perlu mengukuhkan kewangan melalui peningkatan kutipan hasil.

Katanya, beliau sedia maklum MBSA mempunyai tunggakan kutipan melalui aset dimiliki dan kesemua pihak perlu mencari alternatif bagi mendapatkan tunggakan berkenaan.

“Terakhir melalui agenda kelima, MBSA perlu memperkasakan sumber manusia kerana ia adalah asas utama kepada sesebuah organisasi.

“Besarlah harapan saya untuk melihat ahli majlis dan pengurusan tertinggi yang dibarisi pelbagai golongan mempunyai latar belakang, pengetahuan dan pendidikan dapat membantu saya mencorak kejayaan MBSA serta memastikan organisasi ini terus mencipta kecemerlangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

25 Ahli Majlis MBSA mula tugas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 25 ahli majlis secara rasminya dilantik Kerajaan Selangor bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kesemua ahli majlis berkenaan mempunyai pengalaman, pendidikan dan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Diharapkan supaya semua ahli majlis ini dapat membantu memperkasakan sistem penyampaian maklumat MBSA, selain dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik.

“Semoga semuanya dapat memberikan pandangan dan idea meningkatkan prestasi pentadbiran MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Majlis angkat sumpah dan menandatangani Surat Akujanji itu turut disaksikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Semua dilantik akan berkhidmat di kawasan pentadbiran MBSA bagi penggal 2018-2020.

Stadium Shah Alam sedia diguna untuk Piala Sultan Selangor

Piala Sultan Selangor 2016 perlawanan pertama yang bakal dilangsungkan di Stadium Shah Alam selepas dibaik pulih.

Categories
SELANGOR

MBSA terjah tapak projek biak Aedes

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 FEB: Tapak pembinaan di Seksyen 7, di sini dikenal pasti berpotensi sebagai lokasi pembiakan nyamuk Aedes oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu operasi terjahnya.

Sehubungan itu, notis penutupan tiga hari dikeluarkan kepada pemaju supaya kerja pembersihan dijalankan sebelum kebenaran operasi semula diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmand Zaharin Mohd Saad, berkata notis diberikan adalah tindakan awal dan peringatan supaya pemaju bertindak segera membersihkan kawasan tapak pembinaan itu.

MBSA DENGGI“Kita hanya keluarkan notis untuk tujuan itu dan tiada kompaun dikenakan di mana tempoh tiga hari hingga dua minggu diberi untuk kerja pembersihan kawasan.

“Pemeriksaan akan dibuat MBSA selepas itu bagi menentukan tahap kebersihan sebelum kelulusan operasi semula dikeluarkan,” katanya kepada media selepas lawatan kerja di sini, hari ini.

Pemeriksaan dijalankan MBSA di kawasan projek terbabit mendapati terdapat 10 tempat iaitu dua di dalam bangunan dan lapan rumah kongsi dikenal pasti menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Ahmad Zaharin berkata, pihaknya mendapati pekerja asing sebagai salah satu faktor terjadinya masalah itu.

Sebelum itu, MBSA turut melakukan tinjauan dan pemeriksaan di dua tapak projek di Bukit Jelutong dan kawasan perumahan.

“Kita berharap pemaju dan masyarakat memainkan peranan aktif bagi menangani masalah itu kerana kesedaran ke arah itu masih kurang,” katanya.

DENGGI GRAFIKBermula dari awal tahun ini, MBSA mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 4,198 premis sekitar Shah Alam, aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 12,9802 premis dan mengeluarkan 112 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes.

MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan 12,134 risalah mengenai demam denggi.

-nR-

MBSA tawar hadiah RM71,000 indahkan lorong belakang Seksyen 7

SINOPSIS

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Tawaran menawarkan wang tunai keseluruhan RM71,000 dalam pertandingan projek Laman Seni Shah Alam di Seksyen 7 sebagai kesinambungan Program Pengindahan Lorong Belakang.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata program yang dikenali sebagai Laman Seni 7 itu bertujuan mengubah suasana lorong belakang khususnya di kawasan komersial menjadi kawasan yang selamat, bersih dan boleh dilawati pengunjung.

SKTTDI Jaya rangkul kejuaraan ke-5 Pertandingan Kitar Semula F&N dan MBSA

kitar semula mbsa 01

SHAH ALAM, 22 OKT: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail Jaya diumumkan sebagai pemenang kategori sekolah rendah Pertandingan Kitar Semula Anjuran F&N dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tahun 2013.

kitar semula mbsa 02Kejayaan itu adalah kali kelima berturut-turut sejak 2009 dan sekolah berkenaan juga pernah dinobatkan sebagai naib juara, pada 2008.

Guru Besarnya, Mariah Mahat, berkata kejayaan itu berpunca daripada kesedaran guru, murid dan ibu bapa berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Penganjuran program ini menjadikan murid saya bersemangat untuk mengumpulkan bahan kitar semula dan akhirnya menimbulkan kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar,” katanya.

Mariah berkata demikian selepas sesi penyampaian hadiah dalam Majlis Penutup Kempen Kitar Semula Kali Ke-6 Peringkat Sekolah Shah Alam di Wisma MBSA, di sini, hari ini.

kitar semula mbsa 03Pemenang bagi peringkat sekolah rendah dan menengah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24, Ruslina Salleh, kejayaan sekolahnya merangkul tempat pertama untuk kategori sekolah menengah datang daripada murid yang memainkan peranan penting dengan komitmen tinggi.

“Kepadatan penduduk di kawasan Seksyen 24 menjadi satu cabaran, namun usaha gigih pelajar menyebabkan kejayaan berpihak kepada sekolah kami,” katanya.

kitar semula mbsa 04Dalam pertandingan tahun ini, sebanyak 67,655 Kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan membabitkan penyertaan sembilan sekolah menengah dan 12 sekolah rendah sekitar bandaraya berkenaan..

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan ketika merasmikan majlis itu berkata, bahan kitar semula yang menjadi bahan buangan bagi sesetengah pihak mampu menjana sumber ekonomi kepada pihak lain.

“Kita harus mulakan dari dapur rumah kita sendiri kerana bahan kitar semula mampu menjana ekonomi keluarga,” katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

Best Western bangunkan hotel di I-City

i-city

SHAH ALAM 16 OKTOBER : Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik inisiatif usahasama strategik I-Berhad dan Best Western International (BWI) dalam usaha membangunkan pembangunan hotel yang pertama di I-City Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jalinan kerjasama dalam pembinaan hotel itu akan mengubah lanskap bandaraya Shah Alam.

“Ini menetapkan tanda aras perkembangan yang baru kepada Shah Alam dan kawasan sekitar dan hasil perjanjian ini bakal memenuhi keperluan pelabur asing seterusnya menukar landskap Shah Alam kepada Bandaraya Antarabangsa.

“Jika sebelum ini Shah Alam terkenal dengan industri perkilangan, tetapi selepas ini ia juga terkenal dengan industri perlancongan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara i-City dan Best Western International, di sini.

Best Western International menguasahakan jenama hotel Best Western dan merupakan rangkaian hotel terbesar di dunia dengan 4,195 hotel di lebih 100 negara.

MOU itu ditandatangani oleh Naib Pengerusi I Berhad, Datuk Eu Hong Chew dan Naib Presiden Operasi Antarabangsa Asia dan Timur Tengah BWI, Glenn de Souza sambil diperhatikan Abdul Khalid.

Pembinaan hotel di atas 72 ekar tanah itu membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM50 juta.

Ia akan dijalankan secara berperingkat termasuk 826 unit Services Suites yang dijangka siap pada 2016 manakala 216 bilik hotel dijangka siap pada suku tahun ketiga 2014.

Dengan pembukaan hotel itu, ia dijangka akan menambah bilangan pengunjung ke I City.

Sebelum ini, syarikat gergasi Thailand, Central Pattana melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Sementara itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk menaiktaraf kemudahan infrastuktur di kawasan sekitar.

Sebelum ini, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan memaklumkan satu persimpangan yang menyambungkan Lebuhraya Persekutuan dengan Shah Alam sedang dalam pembinaan dan dijangka mampu memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk bandar raya Shah Alam, terutamanya di Seksyen 7.

Persimpangan itu bakal menjadi laluan alternatif untuk keluar masuk ke Seksyen 7, selain turut menjadi pintu masuk ke i-City dari Kelang.

Dengan kemudahan infrastruktur terbaharu itu, Shah Alam dijangka akan menjadi lebih urban selain memainkan peranan penting di dalam pelan induk Greater Kuala Lumpur.

Selain persimpangan yang bakal siap September ini, terdapat sebuah hospital dengan 300 katil yang masih dalam pembinaan di atas tanah seluas 25 ekar berhampiran i-City.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemilik pangsapuri kos rendah layak terima diskaun 25 peratus

cukai MBSA copy

SHAH ALAM, 4 OKT : Pemilik pangsapuri kos rendah di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) layak menerima diskaun cukai taksiran 25 peratus.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan, berkata pemberian diskaun itu tertakluk kepada pemilik bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri kos rendah berharga bawah RM42,000.

“Pemilik juga perlu mengemukakan hakmilik strata sebagai bukti dokumen pemilikan rumah mereka.

“Bagi pemilik tiada atau masih belum membuat pindah milik hakmilik strata, mereka boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti dokumen pemilikan rumah,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat pembentangan Belanjawan MBSA 2014.

Beliau berkata, pemilik boleh mendapat perakuan sah pemastautin daripada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha sahaja) atau Ahli Majlis.

Mohd Jaafar, berkata pemilik perlu membuat permohonan diskaun cukai taksiran pada setiap penggal kerana pemberian diskaun cukai taksiran tidak diperoleh secara automatik.

“Waris pemilik juga layak dapat pengurangan diskaun ini, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia,” katanya.

Untuk menyemak senarai pangsapuri layak memohon, pemilik boleh merujuk kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan atau menghubungi di talian 03-5510513 sambungan 380 / 397 / 532 / 525.

Categories
SELANGOR

MBSA perkasakan jabatan untuk kesejahteraan warga Shah Alam

Datuk Mohd Jaafar Mohd AtanSHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkasakan fungsi beberapa jabatannya bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti ke arah kesejahteraan warga bandar raya Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, ia adalah dasar Belanjawan 2014 MBSA yang mempunyai enam teras iaitu kehidupan sejahtera dan kondusif, perkhidmatan terbaik, peka terhadap aduan masyarakat, masyarakat dan ‘stakeholders’ sebagai pelanggan, sistem penyampaian yang cekap dan rondaan keselamatan.

Beliau berkata, untuk Belanjawan 2014 MBSA mensasarkan pulangan hasil melebihi RM350.6 juta menerusi hasil cukai dan bukan cukai bagi meneruskan pembangunan di kawasan selaiannya.

“Belanjawan kita pada 2014 adalah belanjawan berimbang dan dijangka kita akan mendapat hasil kira-kira RM350,640,430 maka kita akan berbelanja sebanyak yang kita dapat.

“Kita menyahut hasrat Kerajaan Negeri supaya belanjawan ini diberikan balik kepada pembangunan insan dan masyarakat bagi warga MBSA serta pembayar cukai dan pelabur. Antara tindakan adalah kita akan memperkasakan beberapa jabatan di MBSA,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA di sini hari ini.

Mohd Jaafar berkata, jabatan terbabit adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Hasil dan Pelaburan dengan penubuhan beberapa unit baru.

Beliau berkata, antara unit ditubuhkan ialah Unit Polis Bantuan di bawah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Unit Pengurusan Dewan-Dewan Serbaguna (Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti), Unit Integriti (Jabatan Khidmat Pengurusan), Unit Penyelenggaraan (Jabatan Kejuruteraan), Unit Pangkasan Pokok (Jabatan Taman dan Rekreasi) dan Unit Pengurusan Tempat Letak Kereta (Jabatan Hasil dan Pelaburan).

“Salah yang paling penting untuk menjaga disiplin Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MBSA, kita akan tubuhkan satu Unit Integriti iaitu ketuanya akan dipinjamkan dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyemak supaya tidak ada salah laku. Kita akan tubuhkan bila diluluskan Kerajaan Negeri.

“Dalam belanjawan tadi untuk penubuhan Unit Polis Bantuan dengan 100 anggota, MBSA melalui Kerajaan Negeri akan memohon kepada Ketua Polis Negara dan kita berharap akan diluluskan,” katanya.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan membaiki dan menambahbaik beberapa dewan orang ramai di sekitar Shah Alam dengan kos RM3.5 juta.

Beliau berkata, projek laluan basikal juga diteruskan selain beberapa kemudahan seperti taman cergas dan taman awam.

“Kita juga akan menaik taraf dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada iaitu di terminal bas di Seksyen 17 dan 19.

“Terminal bas di Seksyen 19 akan dibangunkan dengan kos RM4 juta manakala terminal bas di Seksyen 17 dengan kos RM7 juta yang mana kita akan memohon kos tambahan itu,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga merancang menubuhkan sebuah Dewan Banquet bertaraf antarabangsa di kawasan Seksyen 13 pada masa depan dengan anggaran kos RM27 juta.

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: MBSA lulus peruntukan tubuh polis bantuan

Belanjawan MBSA Edit

SHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menubuhkan pasukan polis bantuan menerusi peruntukan dari Belanjawan 2014 berjumlah RM350.6 juta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pasukan itu akan diwujudkan selepas mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan memohon melalui Kerajaan Negeri kepada Ketua Polis Negara untuk menubuhkan pasukan polis bantuan dengan 100 anggota.

“Harapan kita semoga akan dapat kelulusan polis bantuan ini dan jawatan yang akan diisi 25 anggota manakala 75 anggota lagi akan diserap daripada anggota penguatkuasa yang ada sekarang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Mohd Jaafar berkata, mengikut pecahannya ialah 30 peratus daripada tugas polis bantuan itu adalah bagi membantu anggota polis untuk menguruskan soal lalu lintas dan jalan raya manakala 30 peratus lagi untuk menjaga segala aset pihak berkuasa negeri dan MBSA sendiri.

Baki 40 peratus pula, katanya, bertujuan menjalankan rondaan bersama anggota polis di kawasan ‘hot spot’ bagi pencegahan jenayah dengan tumpuan seperti kawasan perniagaan, perumahan, dewan orang ramai dan sebagainya.

“Apabila mendapat kelulusan, MBSA akan mengiklankannya supaya 25 jawatan ini dapat diisi,” katanya.