Categories
SELANGOR

Masyarakat boleh respon Rancangan Tempatan MBSA 2020 hingga 5 September

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MBSA (pengubahan 3) 2020, bermula 7 Ogos hingga 5 September ini.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata penganjuran itu bagi memudahkan orang ramai dan pemaju untuk memberi saranan, pandangan dan bantahan dalam penyediaan Rancangan Tempatan MBSA.

Katanya, program publisiti dan penyertaan awam itu amat signifikan kepada MBSA selaku pentadbir untuk berperanan dengan lebih pragmatik dan komited untuk menjadi pihak berkuasa tempatan yang terbaik di negeri ini.

MBSA“Rancangan Tempatan ini sudah diwartakan pada 31 Julai lalu dengan nombor warta 3189 dan jawatankuasa perancang negeri juga bersetuju supaya MBSA menyediakan draf rancangan tempatan MBSA mengikut keperkuan Seksyen 12 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Ia membabitkan pembangunan yang dicadangkan akan memberi kesan kepada pembangunan sekitar, cadangan pindaan perlu mengambil kira pindaan yang sama bagi lot bersebelahan dan bukan hanya lot dipohon serta kesan kepada imej bandar serta ‘skyline’ akibat pertambahan ruang lantai perniagaan masa depan,” katanya di Majlis Perasmian Draf Rancangan Tempatan MBSA, di Galeri MBSA, di sini.

Jaafar berkata, kawasan rancangan tempatan MBSA 2020 akan membabitkan kawasan seluas 29,030 hektar yang terdiri daripada dua daerah iaitu Petaling di bahagian Utara dan Klang (Selatan).

Katanya, kawasan itu akan dibahagikan kepada lima blok perancangan kecil yang mengambil kira perancangan 56 seksyen dalam Shah Alam bagi tujuan kawalan dan pengurusan aktiviti perancangan pembangunan.

“Cadangan pindaan ini juga berdasarkan justifikasi dan membabitkan pindaan zon guna tanah yang perlu diselaraskan, potensi tapak untuk pembangunan masa depan, ketidakselarasan dengan keadaan semasa di tapak zon guna tanah perlu dikemaskini serta permintaan pemajuan perlu berdasarkan kepada cora pembangunan semasa,” katanya.

mbsa-web lamaBeliau berkata, laporan itu nanti boleh dijadikan asas kepada pemilik tanah, pemaju, orang awam, badan bukan kerajaan dan pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan sebarang cadangan, pandangan dan bantahan sebelum rancangan tempatan diwartakan.

Pameran itu akan diadakan di empat lokasi iaitu ruang legar Galeri MBSA; pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai boleh membuat bantahan atau cadangan di kaunter yang disediakan secara rasmi dan terus kepada pihak MBSA.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Best Western bangunkan hotel di I-City

i-city

SHAH ALAM 16 OKTOBER : Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik inisiatif usahasama strategik I-Berhad dan Best Western International (BWI) dalam usaha membangunkan pembangunan hotel yang pertama di I-City Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jalinan kerjasama dalam pembinaan hotel itu akan mengubah lanskap bandaraya Shah Alam.

“Ini menetapkan tanda aras perkembangan yang baru kepada Shah Alam dan kawasan sekitar dan hasil perjanjian ini bakal memenuhi keperluan pelabur asing seterusnya menukar landskap Shah Alam kepada Bandaraya Antarabangsa.

“Jika sebelum ini Shah Alam terkenal dengan industri perkilangan, tetapi selepas ini ia juga terkenal dengan industri perlancongan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara i-City dan Best Western International, di sini.

Best Western International menguasahakan jenama hotel Best Western dan merupakan rangkaian hotel terbesar di dunia dengan 4,195 hotel di lebih 100 negara.

MOU itu ditandatangani oleh Naib Pengerusi I Berhad, Datuk Eu Hong Chew dan Naib Presiden Operasi Antarabangsa Asia dan Timur Tengah BWI, Glenn de Souza sambil diperhatikan Abdul Khalid.

Pembinaan hotel di atas 72 ekar tanah itu membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM50 juta.

Ia akan dijalankan secara berperingkat termasuk 826 unit Services Suites yang dijangka siap pada 2016 manakala 216 bilik hotel dijangka siap pada suku tahun ketiga 2014.

Dengan pembukaan hotel itu, ia dijangka akan menambah bilangan pengunjung ke I City.

Sebelum ini, syarikat gergasi Thailand, Central Pattana melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Sementara itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk menaiktaraf kemudahan infrastuktur di kawasan sekitar.

Sebelum ini, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan memaklumkan satu persimpangan yang menyambungkan Lebuhraya Persekutuan dengan Shah Alam sedang dalam pembinaan dan dijangka mampu memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk bandar raya Shah Alam, terutamanya di Seksyen 7.

Persimpangan itu bakal menjadi laluan alternatif untuk keluar masuk ke Seksyen 7, selain turut menjadi pintu masuk ke i-City dari Kelang.

Dengan kemudahan infrastruktur terbaharu itu, Shah Alam dijangka akan menjadi lebih urban selain memainkan peranan penting di dalam pelan induk Greater Kuala Lumpur.

Selain persimpangan yang bakal siap September ini, terdapat sebuah hospital dengan 300 katil yang masih dalam pembinaan di atas tanah seluas 25 ekar berhampiran i-City.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemilik pangsapuri kos rendah layak terima diskaun 25 peratus

cukai MBSA copy

SHAH ALAM, 4 OKT : Pemilik pangsapuri kos rendah di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) layak menerima diskaun cukai taksiran 25 peratus.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan, berkata pemberian diskaun itu tertakluk kepada pemilik bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri kos rendah berharga bawah RM42,000.

“Pemilik juga perlu mengemukakan hakmilik strata sebagai bukti dokumen pemilikan rumah mereka.

“Bagi pemilik tiada atau masih belum membuat pindah milik hakmilik strata, mereka boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti dokumen pemilikan rumah,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat pembentangan Belanjawan MBSA 2014.

Beliau berkata, pemilik boleh mendapat perakuan sah pemastautin daripada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha sahaja) atau Ahli Majlis.

Mohd Jaafar, berkata pemilik perlu membuat permohonan diskaun cukai taksiran pada setiap penggal kerana pemberian diskaun cukai taksiran tidak diperoleh secara automatik.

“Waris pemilik juga layak dapat pengurangan diskaun ini, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia,” katanya.

Untuk menyemak senarai pangsapuri layak memohon, pemilik boleh merujuk kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan atau menghubungi di talian 03-5510513 sambungan 380 / 397 / 532 / 525.