Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Gula & Tepung, Menteri Diminta Jujur

nik nazmi gula tepung naik

Kenyataan bercanggah daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek, berhubung kenaikan harga barangan asas seperti gula dan tepung dibidas keras Parti Keadilan Rakyat.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta menteri Umno-BN itu supaya tidak berdolak-dalik dan jujur memberitahu rakyat perkara sebenar.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia 20 September lepas yang melaporkan Hasan meminta rakyat Malaysia tidak mempercayai berita bahawa Kerajaan UMNO-BN akan memperluaskan pengurangan subsidi kepada tepung dan gula.

Tidak lama kemudian, pada 6 Oktober semalam, Hasan dilaporkan oleh New Straits Times bahawa kenaikan harga gula dan tepung berkemungkinan naik ekoran daripada usaha pemotongan subsidi Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Justeru saya ingin bertanya kepada Hasan, adakah subsidi tepung dan gula akan dikurangkan atau tidak?” soal beliau.

Nik Nazmi, yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga meminta Kerajaan Pusat supaya menjelaskan mengapa subsidi untuk korporat tidak dikurangkan untuk menangani isu ekonomi yang diwar-warkan.

“Pakatan tidak menolak pengurangan subsidi secara total. Namun yang dipertikaikan sehingga hari ini ialah mengapa subsidi untuk rakyat sering dikurangkan terlebih dahulu berbanding subsidi korporat?” kata beliau.

Pemimpin muda PKR itu juga berkata rasionali subsidi sepatutnya dilaksanakan serentak dengan usaha mengekang aliran keluar wang haram dan rasuah yang semakin parah dan mengakibatkan negara mengalami masalah ekonomi.

“Kerajaan sering memberi alasan defisit fiskal untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat. Namun yang nyatanya Kerajaan berhadapan defisit keyakinan,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.