Categories
NASIONAL

Mahasiswa : Kerajaan pusat tergesa-gesa laksana GST

Safwan Anang gst

SHAH ALAM 30 OKT : Kerajaan Pusat tergesa-gesa melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan membebankan rakyat ketika tiada mekanisme untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata Kerajaan Pusat digesa menyelesaikan dahulu masalah rasuah, ketirisan dan keborosan yang berlaku dalam perbelanjaan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum GST dikuatkuasakan.

Kata beliau, golongan mahasiswa turut akan menerima tempias dan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015 kerana mereka juga merupakan pengguna yang akan membeli barangan dan keperluan.

“Jika kerajaan pusat tidak juga mendengar suara bantahan rakyat ini maka mahasiswa bersedia untuk bersama-sama menggerakkan suara bantahan ini,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Safwan, beliau berharap mahasiswa mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman berkenaan pelaksanaan GST agar mereka berkeupayaan menjadi jurubicara rakyat.

“Apabila hangatnya pilihan raya kampus itu diharap isu GST ini juga diperdebatkan tetapi malangnya hal ini tidak berlaku akibat campur tangan politik luar sehingga menyebabkan isu GST ini diam sahaja,” kata beliau.

Pengenalan GST pada kadar enam peratus akan lebih membebankan golongan muda kerana 82.5 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

Kesan itu semakin dirasai golongan muda apabila kadar inflasi meningkat ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika pendapatan tidak banyak berubah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.