Categories
NASIONAL

Najib dan Taib perlu isytihar harta bukti Ketelusan dalam kepimpinan

Najib dan Taib

SHAH ALAM 18 OKT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan tidak adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak mengisytiharkan harta mereka dengan alasan sudah terlalu lama dalam politik.

Johari berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah mengetahui pendapatan ahli politik seperti Menteri Besar dan Ahli Parlimen terutama membabitkan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak menjadi masalah jika pemimpin politik mempunyai harta yang banyak dengan syarat mereka mampu menjelaskan kaedah perolehan harta terbabit.

“Pasti tidak adil jika mereka tidak mengisytiharkan harta yang dimiliki. Apa yang perlu ditakutkan jika dia ada RM50 juta dan boleh menjelaskan kepada umum dari mana dia dapat sumber itu.

“Keengganan pemimpin mengisytiharkan harta menyebabkan timbul prasangka bahawa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Saya rasa ketakutan untuk mengisyitiharkan harta mesti ada landasannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Muhammad Asri Mohd Ali, berkata adalah tidak adil bagi dua pemimpin berkenaan mengisytiharkan harta mereka kerana sudah lama berada di dalam politik.

Johari yang juga bekas mahasiswa UM turut melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan berkenaan kerana pengisyitiharan harta adalah tindakan terbaik untuk mengenalpasti individu yang terbabit atau ingin menceburi arena politik tidak dikaitkan dengan rasuah.

“Seperti yang diketahui umum, pemimpin baru atau lama wajar mengisytiharkan harta mereka kerana kaedah ini mampu mengenalpasti individu berkenaan tidak terbabit dengan rasuah dan saya kira ini adalah tindakan paling baik. Kalau betul terbabit dengan perniagaan, pemimpin itu isytiharkan sahaja harta mereka tanpa perlu disorokkan.

“Sekiranya pemimpin mula mengisyitiharkan harta, dia mungkin boleh bergelar jutawan jika mempunyai harta yang banyak dan itu tidak menjadi isu di negara ini. Sebagai contoh, tidak akan timbul sebarang kesalahan jika Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan atau mana-mana pihak ingin menyertai politik dan mengisytiharkan harta mereka dengan jumlah yang banyak,” katanya. -NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.