Categories
AGENDA NASIONAL

Pemerintahan singkat PN ancam kebebasan media

SHAH ALAM, 19 FEB: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hampir setahun mengemudi negara dilihat cuba menyekat kebebasan bersuara dengan mengganggu penyiasatan wartawan, badan berita bebas serta ahli parlimen.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan lemah yang sentiasa mengelak masyarakat seperti melaksanakan Pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen dan serangan terhadap media bebas.

“Pemerintahan kuat dan berkeyakinan tidak akan berkelakuan seperti ini. Hari ini Malaysiakini dihukum bukan kerana melaporkan berita palsu sebaliknya komen pengguna internet yang tidak dikenali.

“Negara luar banyak melakukan taktik ini sekali gus menggambarkan Malaysia menuju ke arah pemerintahan diktator. Tindakan ini akan merobek kepercayaan dan keyakinan terhadap negara malah menyebabkan pelabur asing semakin menjauh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Presiden KEADILAN berkata kebebasan bersuara merupakan ‘tiang seri’ dan elemen penting dalam sistem demokratik dengan cabang pemerintah bertanggungjawab memelihara dan melindunginya sepertimana terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 menjatuhi hukuman denda RM500,000 kepada portal Malaysiakini atas kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya dan harus dibayar dalam tempoh tiga hari mulai Isnin depan.

Ia berkaitan komen lima pembaca mengenai artikel disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sumbang RM20,000, bantu Malaysiakini bayar denda mahkamah

SHAH ALAM, 19 FEB: KEADILAN menghulur sumbangan berjumlah RM20,000 kepada portal Malaysiakini yang didenda hari ini.

Bendahari agungnya berkata bantuan terbabit merupakan tanda solidariti parti terhadap portal berita itu.

“KEADILAN menyeru seluruh rakyat menyokong kempen membayar denda Malaysiakini sebagai usaha mempertahankan kebebasan media dan hak bersuara,” kata Lee Chean Chung menerusi kenyataan.

Hari ini Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 menjatuhkan hukuman denda RM500,000 kepada portal itu atas kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Denda berkenaan diperintah dibayar dalam tempoh tiga hari mulai Isnin depan.

Pada 17 Jun tahun lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan sebelah pihak peguam negara untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat mengendali portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan.

Ia berkaitan komen lima pembaca mengenai artikel disiarkan portal itu pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Laporan berita palsu, MB nafi tegur Ebit Lew

SHAH ALAM, 20 OKT: Dato’ Menteri Besar memaklumkan tangkap layar laporan portal berita MalaysiaKini yang tular hari ini berhubung kenyataannya kepada seorang pendakwah bebas adalah tidak benar.

“Kenyataan berikut adalah palsu. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Penafian juga telah dibuat oleh wartawan Malaysiakini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Laporan berita bertajuk ‘Air Selangor: Situasi terkawal, Ebit Lew jangan berlagak baik- MB’ menjadi bualan warga maya susulan masalah bekalan air di negeri ini dan tindakan pendakwah tersebut mengagihkannya kepada orang ramai.

Bagaimanapun wartawan yang tertera namanya pada tangkap layar berkenaan, Aidila Razak menafikan ada menulis laporan itu.

Menerusi Twitter, beliau memaklumkan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa peguam negara kaji semula kes Malaysiakini

SHAH ALAM, 3 JULAI: Peguam negara digesa mengkaji semula pendakwaan terhadap Malaysiakini atas tuduhan menghina mahkamah berdasarkan komen pembaca portal itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk membatalkan prosiding itu memberi kesan kepada kebebasan media di negara ini termasuk hak bersuara dalam talian.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan kerajaan harus menunjukkan etika dan tatacara terbaik kerana peranan media dalam sistem demokrasi sangat penting.

“Justeru, saya melihat apa saja bentuk hukuman kepada mereka sebagai bertentangan dengan semangat demokrasi dan negara hukum,” katanya pada kenyataan malam tadi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan portal berita itu dan ketua pengarangnya Steven Gan untuk mengetepikan perintah prosiding berkenaan.

Anwar juga mengingatkan kerajaan supaya mengakui dan mengambil kira kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan, bukannya mencontohi rejim sebelumnya yang menyekat fungsi media.

Pengerusi Pakatan Harapan juga menyifatkan pendakwaan berkenaan sebagai tindakan salah dan keterlaluan sekali gus memangsakan media.

Categories
SELANGOR

Azmin tegur MalaysiaKini, pastikan laporan tepat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pengamal media supaya melaporkan berita secara telus, tanpa memutarbelitkan fakta.

Beliau berkata, pengamal media khususnya wartawan perlu mendapatkan fakta dan pemahaman sebenar, bagi mendapatkan gambaran sebenar terhadap pelaksanaan dasar di peringkat Kerajaan Negeri,

“Saya ingin memberi penjelasan termasuklah kepada editor , supaya mereka faham termasuklah portal berita MalaysiaKini, bagaimana untuk melaporkan dasar-dasar yang dilaksanakan Kerajaan Selangor.

“Dasar dan bantuan kewangan yang dilakukan ini dibuat dengan perancangan rapi dan bukan dibuat untuk memancing undi pilihan raya,” kata Dato’ Menteri Besar itu.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan portal Malaysia Kini yang mengaitkan program turun padang dan penyerahan bantuan Kerajaan Selangor di Gombak, baru-baru ini sebagai gula-gula piliha nraya.

Dalam laporan berkenaan, terdapat kesalahan jumlah sebenar nilai kewangan dan bantuan yang diserahkan Kerajaan Selangor bagi pembangunan Parlimen Gombak dan Ampang.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, laporan bertajuk “Cash, laptops, iPads – Azmin doles out over RM2m worth goodies” itu adalah kesalahan serius dan bersifat andaian kurang tepat.

Shao Loong berkata, antara kenyataan mengelirukan adalah sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, sedangkan ia sangat tidak benar.

“Tiada tunai diberi dalam program itu tetapi hanya cek diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

“Selain itu, kenyataan bahawa Mohamed Azmin mengagihkan iPad kepada penerima yang layak sama sekali tidak benar tetapi ia adalah gajet tablet Samsung mampu milik,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bukan RM2.24 juta, kesilapan serius laporan MalaysiaKini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 AP : Kesilapan serius berhubung laporan portal berita MalaysiaKini membabitkan lawatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali, ke Gombak dan Bukit Antarabangsa yang diterbitkan 14 April lalu pada jam 11.29 malam, amat mengecewakan.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, laporan bertajuk “Cash, laptops, iPads – Azmin doles out over RM2m worth goodies” itu adalah kesalahan serius dan andaian kurang tepat.

“Kami bertanggungjawab memperbetulkannya kerana ia menjejaskan reputasi dan nama baik beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shao Loong berkata, antara kenyataan mengelirukan adalah sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, sedangkan ia sangat tidak benar.

“Tiada tunai diberi dalam program itu tetapi hanya cek diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

“Selain itu, kenyataan bahawa Mohamed Azmin mengagihkan iPad kepada penerima yang layak sama sekali tidak benar tetapi ia adalah gajet tablet Samsung mampu milik,” katanya.

Katanya, kebenaran dan dokumen rasmi berhubung perkara itu boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan semuanya tertakluk pada audit.

Manakala, laporan MalaysiaKini juga menyatakan daripada empat aktiviti pada 14 April lalu “jumlah bantuan yang diagihkan adalah lebih RM2.24 juta dalam dua aktiviti di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas”.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali. Faktanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan pada empat aktiviti berkenaan hanya berjumlah RM967,150 iaitu daripada peruntukan kawasan dan program rasmi Kerajaan Negeri.

“Namun, angka yang dilaporkan MalaysiaKini adalah 2.3 kali ganda daripada angka sebenar dan ia amat dikesali kerana tiada sebarang usaha dibuat untuk menghubungi pegawai kawasan untuk pengesahan maklumat berkenaan sebelum penerbitan,” katanya.

Shao Loong berkata, angka sebenar itu termasuk beberapa ratus ribu ringgit daripada peruntukan kawasan Mohamed Azmin, manakala sebahagian bantuan untuk memenuhi permohonan naik taraf kemudahan awam dan bakinya pula kepada bantuan golongan memerlukan serta pendidikan.

Shao Loong turut menjelaskan, persatuan penduduk di sembilan pangsapuri kos sederhana juga kos rendah kawasan terbabit sudah memohon kerja pembaikan bangunan di bawah Program SMART LIFE serta CERIA oleh Kerajaan Negeri dan ia sudah diluluskan, pada November 2017.

Shao Loong menegaskan, semua permohonan bantuan itu sudah dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen bukan perbelanjaan saat akhir khusus untuk pilihan raya.

“Tuduhan ‘goodies’ pada tajuk adalah mengelirukan, sedangkan pengagihan untuk kawasan adalah sebahagian tanggungjawab rutin terhadap penduduk dan Mohamed Azmin melaporkan berhubung perkara itu secara terbuka menerusi media sosial.

“Bagaimanapun, kami amat menghormati peranan media bebas sebagai Kuasa Keempat ‘Fourth Estate) untuk semak dan imbang dalam amalan demokrasi moden, namun ia mesti dilunaskan dengan etika berpiawaian tinggi.

“Fakta perlu disahkan dan harus ada komunikasi dengan sumber supaya orang awam mendapat maklumat benar,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Tahniah Malaysiakini menang kes saman fitnah

OLEH : DATO SERI’ MOHAMED AZMIN ALI

Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada portal berita Malaysiakini yang telah memenangi kes terhadap saman fitnah dalam Mahkamah Tinggi semalam.

Keputusan mahkamah itu bukan sahaja merupakan kemenangan kepada portal berita tersebut, tetapi juga kemenangan untuk Malaysia yang demokratik walaupun dalam keadaan pemerintah terus menyekat amalan kewartawanan bebas dan bertanggungjawab.

Dengan penutupan operasi portal-portal berita bebas ekoran tindakan keras kerajaan, kami harus menyambut keputusan mahkamah ini yang mempertahankan media bebas sebagai tonggak masyarakat.

Adalah menjadi hasrat saya apabila kami membuat perubahan di Putrajaya, keutamaan tertinggi adalah kebebasan media dan kebolehan wartawan menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Selamatkan Malaysia!

DATO SERI’ MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Besar Selangor

Forum: Tiada harapan kalahkan UMNO tanpa suruhanjaya bebas

Di wacana Politik tanpa Anwar anjuran Malaysiakini, ahli panel rata-ratanya bersetuju matlamat mengalahkan UMNO melalui pilihan raya tanpa suruhanjaya pilihan raya yang bebas adalah hampir mustahil

Categories
NASIONAL

Geramm: Sekat wartawan buat liputan, Malaysia gagal iktiraf kebebasan media

SHAH ALAM, 8 FEB: Gerakan Media Marah (Geramm) mengecam tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyekat Malaysiakini membuat liputan ke atas lawatan rasmi Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), di bangunan jabatan tersebut, pada 6 Februari lalu.

Tindakan itu tidak seharusya berlaku kerana JPM sendiri meluluskan pas kepada wartawan Malaysiakini untuk membuat liputan acara berkenaan.

geramm-red-pencil9-1024x576 (4)(1)Geramm juga kesal kerana media yang hadir ke majlis bersama Jokowi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilarang daripada bertanya sebarang soalan.

“Jokowi dikenali sebagai pemimpin yang mesra media dan selalu berani berhadapan soalan daripada wartawan di Indonesia selaras dengan komitmen untuk mempertahankan prinsip kebebasan akhbar di republik itu.

“Walaupun jika kerajaan Malaysia seakan keberatan mengiktiraf kebebasan akhbar, sekurang-kurangnya pihak berwajib patut menghormati sikap lebih mesra media tetamu dari negara jiran terbabit.

“Tentunya insiden ini akan mencalar imej Malaysia dan mencorotkan lagi kedudukan negara dari segi menghormati kebebasan akhbar,” kenyataan itu dipetik daripada Malaysia Kini.

Categories
NASIONAL

Pejabat Malaysiakini disimbat cat merah, bangkai itik

SHAH ALAM 25 FEB: Simbahan cat merah dan bungkusan bangkai itik ditemui di luar pejabat portal berita bebas Malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur pagi ini.

Memetik laporan Malaysiakini, cat merah itu disimbah pada dinding dan juga papan tanda Malaysiakini yang diletakkan di bangunan tingkat empat dan telah mengenai sebuah motosikal yang diparkir berdekatannya.

cat malaysiakiniSementara itu, seekor bangkai itik ditemui dalam sebuah kotak, yang ditinggalkan bersebelahan pintu masuk utama.

Ia juga dilekat dengan gambar ahli parlimen Seputeh Teresa Kok.

Menurut Editor Grafik Malaysiakini, Azlan Zamhari, staf pertama sampai ke pejabat itu pada jam 6.15 pagi, mendapati cat merah itu masih lagi basah.

“Secara jelas menunjukkan cat itu dibaling dengan menggunakan lima plastik bag,” katanya.

Serangan terhadap Malaysiakini dibuat selepas seminggu pejabat Teresa disimbah cat merah dan diletakkan bangkai ayam di tangga menuju ke pejabatnya.

EZY

Categories
NASIONAL

Wartawan Malaysiakini disekat buat liputan di KDN

SHAH ALAM 12 DIS : Wartawan Malaysiakini disekat daripada membuat liputan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya berhubung pendedahan isu Syiah melibatkan pemimpin Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini.

kiniMenurut portal Malaysiakini, wartawannya serta kiniTV yang hadir ke Kompleks D1, Putrajaya hari ini diminta agar tidak naik ke sesi taklimat dan sidang media oleh ketua setiausaha KDN petang ini dengan alasan arahan menteri.

Penyambut tetamu di lobi pintu masuk KDN berkata, larangan ke atas Malaysiakini bermula sejak Datuk Seri Abdul Zahid Hamidi memegang jawatan berkenaan.

Malaysiakini juga tidak dibenarkan membuat liputan di Kementerian Pertahanan pada zaman pentadbiran Ahmad Zahid di situ sebelum ini.

Ini sama sekali berbeza dengan zaman jawatan menteri dalam negeri dipegang Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malaysiakini malah dibenarkan membuat liputan program di Kementerian Pertahanan yang dipegang Hishamuddin selepas pilihan raya umum lalu.

Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datoh dan naib presiden Umno itu juga dilihat beberapa kali ‘berseteru’ dengan portal itu termasuk memberi ‘amaran’ kepada wartawan Lawrence Yong untuk tidak memutarbelitkan kata-kata beliau dalam sidang media dua bulan lepas.

Sebelum ini, seorang wartawan meja bahasa Cina Malaysiakini turut dihalang dari membuat liputan di bangunan itu.

Categories
NASIONAL

Najib dan Taib perlu isytihar harta bukti Ketelusan dalam kepimpinan

Najib dan Taib

SHAH ALAM 18 OKT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan tidak adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak mengisytiharkan harta mereka dengan alasan sudah terlalu lama dalam politik.

Johari berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah mengetahui pendapatan ahli politik seperti Menteri Besar dan Ahli Parlimen terutama membabitkan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak menjadi masalah jika pemimpin politik mempunyai harta yang banyak dengan syarat mereka mampu menjelaskan kaedah perolehan harta terbabit.

“Pasti tidak adil jika mereka tidak mengisytiharkan harta yang dimiliki. Apa yang perlu ditakutkan jika dia ada RM50 juta dan boleh menjelaskan kepada umum dari mana dia dapat sumber itu.

“Keengganan pemimpin mengisytiharkan harta menyebabkan timbul prasangka bahawa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Saya rasa ketakutan untuk mengisyitiharkan harta mesti ada landasannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Muhammad Asri Mohd Ali, berkata adalah tidak adil bagi dua pemimpin berkenaan mengisytiharkan harta mereka kerana sudah lama berada di dalam politik.

Johari yang juga bekas mahasiswa UM turut melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan berkenaan kerana pengisyitiharan harta adalah tindakan terbaik untuk mengenalpasti individu yang terbabit atau ingin menceburi arena politik tidak dikaitkan dengan rasuah.

“Seperti yang diketahui umum, pemimpin baru atau lama wajar mengisytiharkan harta mereka kerana kaedah ini mampu mengenalpasti individu berkenaan tidak terbabit dengan rasuah dan saya kira ini adalah tindakan paling baik. Kalau betul terbabit dengan perniagaan, pemimpin itu isytiharkan sahaja harta mereka tanpa perlu disorokkan.

“Sekiranya pemimpin mula mengisyitiharkan harta, dia mungkin boleh bergelar jutawan jika mempunyai harta yang banyak dan itu tidak menjadi isu di negara ini. Sebagai contoh, tidak akan timbul sebarang kesalahan jika Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan atau mana-mana pihak ingin menyertai politik dan mengisytiharkan harta mereka dengan jumlah yang banyak,” katanya. -NFN-