Categories
NASIONAL

Perkasa kuasa SPRM dakwa salahlaku dalam LKAN

samsul-sprmSHAH ALAM 6 OKT : Kerajaan Pusat digesa memperkasakan kuasa pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendakwa pihak yang membuat penyelewengan dan pemborosan seperti dalam Laporan Audit Ketua Negara 2012.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kerajaan tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan mengkaji laporan Audit Ketua Negara kerana ia hanya akan menambah karenah birokrasi dan keberkesanannya.

Katanya, dengan kuasa pendakwaan SPRM yang dimantapkan maka ia akan memberikan ruang lebih besar kepada SPRM melakukan siasatan dan dakwaan serta tidak terhalang kesnya di Pejabat Peguam Negara.

“Hanya dengan kuasa pendakwaan SPRM yang mantap maka kes-kes penyelewengan dalam laporan audit boleh diambil tindakan tegas,” kata Shamsul ketika dihubungi Tv Selangor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan pusat seharusnya menerima pelawaan Pakatan Rakyat (PR) yang mencadangkan satu jawatan kuasa disertai Timbalan Perdana Menteri sebagai Pengerusi, disusuli dengan Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara bertujuan  menghalang penyalah gunaan dan menghukum yang terlibat dalam penyelewangan.

“Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyatakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

“Bagaimanapun agak melucukan apabila kajian sebegini hanyalah pendedahan tanpa tindakan. Saya pasti rakyat Malaysia tidak akan menerima taktik kerajaan yang cuba melengah-lengahkan dan memutar belitkan kenyataan dan akhirnya ia seperti pendedahan yang dibuat tahun-tahun lepas dan mati begitu saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, Laporan Ketua Audit Negara mengenai pembaziran kerajaan ke atas wang rakyat tidak akan mempunyai sebarang makna sekiranya tiada tindakan diambil.

“Pendedahan itu jelas menunjukkan terdapat penyelewangan dan ketidak telusan dalam sistem urus tadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini , Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata,  kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau, dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.