Categories
NASIONAL

PR cadang penambahbaikan sistem operasi dan pengurusan polis

liew_chin_tong_02

KUALA LUMPUR 29 OKT : Satu kertas putih harus dikemukakan Menteri Dalam Negeri kepada Parlimen berkenaan 125 cadangan penambahbaikan Suruhanjaya DiRaja dalam meningkatkan sistem operasi dan pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata kaedah itu diutarakan berikutan kementerian berkenaan tidak menjawab secara terperinci berhubung cadangan penambahbaikan pengurusan polis, sejak lapan tahun lalu.

Katanya, Suruhanjaya DiRaja terbabit diumumkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Disember 2003, manakala laporan akhir diserahkan kepada kerajaan pada April 2005.

“Laporan itu kemudian dikemukakan kepada semua dengan terbitan buku laporan, pada 16 Mei 2005. Lapan tahun selepas laporan terbabit dikemukakan kepada rakyat, kerajaan tidak pernah menjawab secara terperinci berkenaan cadangan suruhanjaya itu.

“Contohnya, kementerian hanya memberi maklumat peratusan cadangan yang diterima dan dilaksanakan dalam jawapan pertanyaan yang dilampirkan, yang mana kebanyakan cadangan hanya dilaksanakan secara ‘superficial’,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga tidak berpuas hati apabila cadangan untuk menjadikan Perintah Tetap Ketua Polis Negara sebagai perundangan subsidiari di bawah Akta Polis 1967 yang membolehkannya diakses pegawai polis melalui internet tidak dapat dilaksanakan.

“Tetapi seperti yang disyorkan Laporan Suruhanjaya, polis perlu memposisikan sendiri tugas mereka sebagai ‘police service’ dan bukan ‘police force’. Polis mesti lebih responsif terhadap rakyat dan bukan lagi beraksi sebagai satu pertubuhan militari,” katanya.

Dalam pertanyaan lisan, Liew meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terperinci tahap keberkesanan pelaksanaan cadangan 20 hingga 45 di bab lapan dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja bagi penambahbaikan perjalanan dan pengurusan PDRM terkini.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu hanya menyatakan terdapat 125 cadangan penambahbaikan suruhanjaya berkenaan tanpa menyatakan lebih terperinci berkenaan pelaksanaannya. -NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.