Categories
NASIONAL

TI-M gesa SPRM siasat politik wang dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno

politik-wangSHAH ALAM 18 OKT :  Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan amalan politik wang membabitkan tiga penyandang jawatan Naib Presiden Umno.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, berkata pihaknya membuat gesaan itu selepas menerima maklum balas berlakunya politik wang menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno, esok.

Katanya, jumlah wang yang besar diguna dan diedarkan pada program ‘khas’ untuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membabitkan 146,000 undi bagi mengekalkan jawatan yang disandang mereka.

“SPRM harus menyiasat sama ada jumlah wang terbabit diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan calon berkenaan. Sekiranya didermakan kepada parti atau bahagian, adakah sumbangan itu dibayar atas tujuan membantu perniagaan,” katanya.

“TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno kerana perkara berkenaan adalah masalah dalaman parti yang perlu diatasi segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Akhbar berkata, masalah itu tidak boleh disembunyikan kerana membabitkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politik, selain tidak adil kepada calon lain.

“Masalah politik wang akan membebankan generasi akan datang apabila terpaksa menanggung bayaran pinjaman yang tinggi dan mungkin berlarutan lebih 100 tahun, jika SPRM masih gagal menjalankan tugas mereka.

“Kami berhutang kepada generasi akan datang dengan meninggalkan legasi baik dan warisan negara yang kaya, bukan hutang negara yang besar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.