Categories
NASIONAL

Rasuah dalam Umno sudah lumrah

politik-wang

SHAH ALAM 20 OKT : Pengakuan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan rasuah adalah lumrah yang diraikan oleh peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng menegaskan mana-mana parti politik yang membudayakan politik wang seperti lubuk perasuah dan pemecah amanah.

“”Sistem rasuah ini sudah lama berlaku dan lihatlah kesannya kepada rakyat sekarang dan ia menjadi tragedi kepada negara,” kata Jui Meng.

chua jui meng -wacanaJui Meng adalah bekas Naib Presiden MCA dan menyertai PKR pada 2009. Meninggalkan Barisan Nasional dan budaya politik gagasan itu menyebabkan beliau dilucut gelaran Dato’ Seri.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata rasuah masih berleluasa dalam pemilihan Umno dan ahli-ahlinya yang mengundi didorong karenah politik wang.

“Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangkan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata maklum-balas yang diterima pihaknya mendapati wang diagihkan di program-program khas yang dianjurkan untuk Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Calon yang terpilih untuk jawatan kanan dalam Umno nanti akhirnya akan diberi portfolio menteri, dimana mereka akan terlibat dalam membuat keputusan keatas projek-projek mega.  Soalnya adalah adakah projek-projek ini berdaya maju, atau hanya sebagai imbalan kepada pihak yang membiayai kempen-kempen beli undi itu?” kata Akhbar.

Sementara itu, Jui Meng berkata beliau tidak yakin kepimpinan Barisan Nasional dapat membanteras politik wang. Beliau juga berpendapat sistem pemilihan satu ahli satu undi yang diamalkan PKR lebih berkesan dalam melawan salahlaku itu.

“Umno tidak boleh lari daripada gejala politik wang walaupun sistem pemilihan yang dilaksanakan dengan menambah perwakilan dilakukan,” katanya.

Categories
NASIONAL

TI-M gesa SPRM siasat politik wang dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno

politik-wangSHAH ALAM 18 OKT :  Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan amalan politik wang membabitkan tiga penyandang jawatan Naib Presiden Umno.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, berkata pihaknya membuat gesaan itu selepas menerima maklum balas berlakunya politik wang menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno, esok.

Katanya, jumlah wang yang besar diguna dan diedarkan pada program ‘khas’ untuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membabitkan 146,000 undi bagi mengekalkan jawatan yang disandang mereka.

“SPRM harus menyiasat sama ada jumlah wang terbabit diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan calon berkenaan. Sekiranya didermakan kepada parti atau bahagian, adakah sumbangan itu dibayar atas tujuan membantu perniagaan,” katanya.

“TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno kerana perkara berkenaan adalah masalah dalaman parti yang perlu diatasi segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Akhbar berkata, masalah itu tidak boleh disembunyikan kerana membabitkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politik, selain tidak adil kepada calon lain.

“Masalah politik wang akan membebankan generasi akan datang apabila terpaksa menanggung bayaran pinjaman yang tinggi dan mungkin berlarutan lebih 100 tahun, jika SPRM masih gagal menjalankan tugas mereka.

“Kami berhutang kepada generasi akan datang dengan meninggalkan legasi baik dan warisan negara yang kaya, bukan hutang negara yang besar,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Pemilihan Umno Lebih Ditakuti Najib Daripada PRU

Umno-Najib-Muhyidin-1

ULASAN : Sejauh mana keberanian Umno untuk merealisasikan tujuh pindaan perlembagaannya yang dimeterai pada Oktober 2009 menjelang pemilihan pada penghujung tahun ini masih belum teruji.

Mengikut pindaan yang diluluskan itu,146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.

Pindaan ini dibuat kononnya ekoran rasuah politik (politik wang) yang sudah tidak dapat dikawal lagi selain memperlihatkan parti tersebut lebih demokratik dan tidak dikuasai oleh golongan yang berduit.

Sistem kuata sebelum ini yang memperuntukan sokongan 30 peratus (57 Bahagian) untuk jawatan Presiden,Timbalan Presiden – 20 peratus (38 bahagian), Naib Presiden – 10 peratus (19 bahagian), Anggota Majlis Tertinggi – 5 peratus (10 bahagian), Ketua Pemuda – 20 peratus (38 bahagian), Ketua Wwanita – 20 peratus (38 bahagian),    Ketua Puteri – 20 peratus (38 bahagian).

Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata jawatan presiden dan timbalan presiden Umno patut dipertandingkan. Katanya sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.

Katanya sekiranya Umno kembali menggunakan sistem kuata. parti tersebut di lihat semakin berundur kebelakang.

Tiru PKR Bukan Transformasi Dalam Umno

Ramai yang masih ingat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno mengkritik PKR ketika pemilihan parti itu pada November 2010 lalu.

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang keluar PKR dan menubuhkan parti KITA dijadikan bahan rujuk oleh Umno memberikan gambaran perpecahan dalam PKR.

Sedangkan Umno tidak pernah membuat pemilihan sejak 2009 hingga ke saat ini disebabkan takut dengan perpecahan dalam parti.

Begitu juga ketika PRU 13 lalu Jawatankuasa disiplin Umno menerima 99 aduan berhubung isu calon BN ditikam daripada belakang.

Ketika pengumuman tindakan Umno membuat tujuh pindaan perlembagaannya, Najib dengan bangganya mengumumkan pindaan tersebut merupakan sebahagian dari tranformasi beliau untuk meremajakan kembali Umno.

Najib mungkin menang dari sudut moralnya ketika itu disebabkan beliau belum pernah di uji termasuk pemilihan dalam parti mahupun PRU.

Senario tersebut berbeza ketika ini apabila menyaksikan kegagalan BN menambah kerusi parlimen sebaliknya hilang tujuh lagi kerusi parlimen ketika PRU 13 lalu.

Prestasi Najib juga dilihat lebih buruk dari pencapaian Tun Abdullah Badawi ketika PRU 12 yang memenangi 140 kerusi parlimen.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam blognya berkata, kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangankali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu akan kehilangan kuasa kepada DAP dan PKR khususnnya.

Kenyataan ini membuktikan Dr Mahathir sendiri mengakui kegagalan Najib. Namun di sebabkan Dr Mahathir terpaksa mengharapkan ihsan Najib untuk meletakkan anak beliau (Mukhriz) menerajui Kedah, Mahathir terpaksa menyembunyikan siratan hati beliau buat seketika.

Di sudut ekonomi pula menyaksikan keadaan defisit negara sedang berada dalam keadaan nazak di paras 53 peratus berbandik KDNK. Dari sudut nilainya pula hutang negara melebihi RM502 bilion.

Dalam kata lain daripada 28 juta rakyat negara ini serta setiap anak yang bakal lahir di Malaysia berhutang dengan bank dunia dianggar berjumlah RM17,928 seorang.

Kegagalan Tranformasi Bakal Dihukum

Angka ekonomi ini menyerlahkan lagi kelemahan Najib. Peluang ini tentunya akan dipergunakan oleh team Muhyiddin serta calon yang layak terutamanya Naib-Naib Presiden untuk menentang Najib.

Penghapusan sistem kuata dan penglibatan 146,500 anggota peringkat akar umbi untuk memilih secara langsung pucuk pimpinan parti membuka laluan yang lebih besar kepada calon yang dianggap layak untuk bertanding diperingkat tertinggi

Penolakan masyarakat Cina, Melayu dan India terhadap BN dan kepimpinan Umno yang di ketuai Najib boleh dijadikan senjata oleh pencabar Najib.

Pemulauan MCA dan Gerakan dari menyertai kabinet Najib mencerminkan kempen dan slogan 1Malaysia Najib gagal mencapai matlamatnya.

Begitu juga dengan sambutan penduduk bandar yang terlalu dingin dan menolak Umno-BN secara total. BN kalah hampir disemua kawasan bandar di seluruh negara dalam PRU 13 lalu.

Ini juga disuluh sebagai kegagalan tranformasi Najib yang gagal membawa orang-orang Melayu dibandar untuk menyokong Umno-BN.

Lebih menakutkan, era Najib membawa Umno berubah dari moderate Melayu menjadi extremist Melayu yang bersifat rasis dan mengalakkan kempen permusuhan di antara kaum.

Kenyataan-kenyataan pemimpin Umno di semua peringkat terpaksa menggunakan pelbagai sentimen perkauman, fitnah, sentimen agama dan sebagainya untuk mengembalikan kekuatan Umno.

Sentimen ini ternyata membawa Umno kembali ke era 1970an. Manakala pembangkang pula dilihat mengorak selangkah demi selangkah menuju kepada realiti politik pelbagai kaum untuk masa depan negara.

Ramai yang ternanti-nanti, apakah Najib bakal menerima hukuman dari kegagalan beliau dalam pemilihan Umno penghujung tahun ini?.

Categories
NASIONAL

Tiga Taktik Kotor Umno-BN Menang PRU-13

Lim Kit Siang

PETALING JAYA, 24 MEI : Umno-BN didakwa menggunapakai tiga taktik kotor semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, tiga taktik kotor itu merujuk kepada politik wang untuk membeli undi, pembohongan yang mendakwa konon wujudnya dominan kaum antara PAS dan DAP serta menakut-nakutkan rakyat mengenai peristiwa 13 Mei yang akan berulang jika Pakatan Rakyat (PR) mentadbir negara.

“Mereka (Umno-BN) menggunakan wang untuk membeli undi rakyat dengan memberi pelbagai manfaat yang bukan sahaja dibuat semasa tempoh berkempen, tetapi lebih awal sebelum itu.

“Taktik kedua iaitu berbohong di mana mereka kata PR tidak boleh menang kerana walaupun rakyat undi DAP tetapi PAS akan jadi parti dominan dan sebaliknya. Mereka juga dakwa PAS dan PKR hanyalah boneka sahaja.

“Taktik ketiga iaitu menakut-nakutkan rakyat dengan mengatakan malapetaka, huru-hara serta peristiwa 13 Mei akan berulang jika PR menang,” katanya di hadapan lebih 3,000 penyokong sempena Himpunan Kesyukuran PR di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Tambahnya, biarpun hasrat PR untuk menawan Putrajaya dalam PRU lalu tidak berhasil, namun beliau menggesa rakyat supaya tidak berputus asa dan terus berjuang menuntut pilihan raya yang bersih.

Katanya, penambahan tujuh kerusi Parlimen PR kepada 89 juga adalah bukti kebangkitan rakyat yang mula menolak politik kotor dan semakin bersedia membuat perubahan.

“Kita tidak berjaya ubah kerajaan di Putrajaya, tetapi ada kemajuan (penambahan kerusi) hingga Perdana Menteri kata keputusan PRU adalah tsunami Cina, tetapi ini adalah tsunami rakyat Malaysia.

“Sungguhpun ada percubaan untuk melaga-lagakan Cina dengan Melayu, tetapi itu tidak akan menjadi halangan untuk kita mengerakkan politik yang memperjuangkan hak rakyat tanpa ada korupsi,” jelasnya.