Categories
NASIONAL

Agen CIA di pejabat AG, SPRM perlu bertindak

Oleh : Lizawati Madfa,

PETALING JAYA 13 NOV : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan kenyataan rasmi berhubung tindakan bakal diambil badan itu ekoran dakwaan terdapat ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pejabat Peguam Negara.

shamsul iskandarKetua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata SPRM perlu mengambil serius pendedahan yang dibuat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu kerana ianya melibatkan kedaulatan negara.

Kata Shamsul, bidang kuasa SPRM membolehkan badan itu memulakan terus siasatan terhadap sebarang pendedahan atau dakwaan tanpa memerlukan sebarang laporan dibuat.

“Ketua Polis Negara (IGP) sebelum ini memberitahu perkara ini terserah pada SPRM, maka sekarang ini kita masih menanti kenyataan daripada SPRM.

“Saya mohon agar SPRM jangan terus berdiam diri dalam hal ini, sebaliknya tampil dengan kenyataan yang sewajarnya,” ujar Shamsul.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini.

Gesaan sama turut dibuat terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail yang sehingga kini masih membisu tanpa sebarang kenyataan balas atau penafian terhadap dakwaan Mahathir baru-baru ini.

CIA“Saya mencabar Peguam Negara untuk tampil ke hadapan dan berterus terang dengan rakyat mengenai dakwaan serius berkenaan ejen CIA di pejabatnya,” kata Shamsul.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pakatan Rakyat kini dalam pertimbangan untuk membawa usul menangguhkan sidang Parlimen yang kini berlangsung bagi membincangkan isu ejen CIA ini.

Mahathir dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa terdapat dua orang pegawai Amerika Syarikat yang merupakan ejen CIA berkhidmat di pejabat AG sekarang.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.