Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan perjudi rakyat kerana takut hilang kuasa, KEADILAN kritik PM

SHAH ALAM, 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memperjudikan nasib rakyat hanya kerana takut kehilangan kuasa berikutan ada ura-ura darurat mahu diisyitihar.

Ketua penerangannya mengkritik sikap ‘bacul’ pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan tumbang secara sah dan demokratik.

Katanya darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul dijadualkan pada persidangan bermula 2 November ini tidak berlaku, termasuklah usul undi tidak percaya yang perlu dihadapi Muhyiddin.

“Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baru boleh dilantik.

“Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen?” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jika darurat dilaksanakan ia akan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia dan pertumbuhan ekonomi dijangka meleset seterusnya mengakibatkan pembuangan pekerjaan besar-besaran apabila industri muflis atau mengecilkan operasi.

Katanya pemerintahan sedemikian tidak menjadikan pentadbiran negara lebih baik sebaliknya hanya menjadikan Malaysia setaraf Afrika yang bergolak dan ditadbir seorang ‘diktator’.

Shamsul Iskandar berkata wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat disamping akta-akta sedia ada.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama BN – PAS langkah terdesak

PONTIAN, 14 NOV: Kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional (BN) – UMNO, MCA dan MIC dengan PAS pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan langkah ‘terdesak’ dalam dunia politik dan bukannya satu bentuk kerjasama demi kebaikan negara.

Ketua Penerangan PKR Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau yakin kerjasama yang berlaku ketika ini lebih kepada kerjasama politik untuk memenangi PRK ini, dan bukan satu kerjasama untuk membina negara dan sebagainya.

“Ia lebih kepada tujuan terdesak dalam dunia politik. Saya yakin pengundi memahami perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Sesi Penerangan Isu-isu MSPO Pekebun Kecil Sawit Johor’, di Dewan Serbaguna Sungai Bunyi, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai ‘suasana’ politik yang menyaksikan PAS mampu bekerjasama dengan MCA dan MIC pada PRK tersebut.

Shamsul Iskandar turut menepis dakwaan kononnya parti Pakatan Harapan (PAKATAN) memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK Tanjung Piai.

Jelasnya, PAKATAN adalah parti gabungan yang sentiasa menghargai dan menyokong aspirasi Malaysia Baharu yang mengutamakan kepentingan semua kaum malah wacana perkauman tidak lagi ‘segar’ dalam konteks politik di negara ini.

” Pimpinan (BN) perlu ‘cermin’ diri mereka sendiri. Kami tidak ada refleksi (perkauman) itu dalam PAKATAN,” kata Shamsul Iskandar.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyelar dan mendakwa PAKATAN memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Shamsul Iskandar: Melaka ‘the next Selangor’

OLEH HAFIZAN TAIB

MELAKA, 8 MEI: KEADILAN Melaka yakin sokongan rakyat akan berpihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) untuk mengambilalih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi KEADILANnya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PAKATAN kali ini memasuki gelanggang PRU dengan matlamat membentuk kerajaan dan dengan sokongan rakyat, ia petanda positif terhadap perubahan tidak hanya di Melaka tetapi di peringkat Persekutuan.

“Kita nak membentuk kerajaan baharu bukan setakat di peringkat negeri tetapi juga Persekutuan bagi menggantikan BN yang sudah terlalu lama berkuasa.

“Pada 9 Mei ini hanya dua keadaan kita pergi Putrajaya dan Seri Negeri,” katanya dalam program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia ke Melaka di Kampung Solok Baroh, di sini, semalam.

Seri Negeri adalah bangunan kompleks Setiausaha Kerajaan yang menempatkan pentadbiran Kerajaan Melaka.

Beliau berkata, dalam tempoh kempen PRU diadakan, rakyat menunjukkan sokongan ketara yang menjanjikan peluang cerah kepada PAKATAN.

Katanya, dengan momentum positif itu diyakini akan menjadi kenyataan dan Melaka akan menjadi seperti Selangor yang menikmati pelbagai kemajuan untuk manfaat rakyat dalam tempoh 10 tahun dipimpin PAKATAN.

“Dengan perubahan berlaku ini, saya kira Melaka akan menjadi ‘the next Selangor’ atau mungkin lebih baik,” kata Naib Presiden KEADILAN itu yang juga penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya.

Pada PRU kali ini, beliau turut bertanding di Dewan Undangan Negeri Rim.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Shamsul Iskandar: Ketua Menteri Melaka cuba lindungi pemimpin Umno rasuah RM150 juta?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 APR: Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemimpin Umno yang didakwa atas kesalahan rasuah RM150 juta menimbulkan persoalan jika individu terbabit dilindungi pihak berkepentingan.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pemimpin Umno Melaka itu tidak ditahan dan masih bebas walaupun waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan.

“Bagaimana beliau masih bebas walaupun waran tangkap dikeluarkan? Dimanakah pemimpin terbabit berada sehingga pihak berkuasa gagal membuat tangkap terhadapnya?

shamsul-iskandar-mohd-akin“Apakah beliau dilindungi pimpinan atasan kononnya mempunyai hubungan secara langsung dengan ketua menteri kerana bimbang Idris Haron akan diheret sama?” katanya dalam kenyataan.

Pada November lalu, SPRM merampas lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen daripada pemimpin berkenaan dalam siasatan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan dipercayai berkait rapat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menterinya, Datuk Idris Haron.

Memetik sumber MalaysiaKini, pemimpin Umno terbabit mempunyai kaitan rapat dengan pegawai atasan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, individu terbabit dikatakan sudah digantung tugas dalam pentadbiran selepas disiasat SPRM.

Namun, media tempatan melaporkan beliau kini dilantik untuk memegang jawatan di Pusat Khidmat Umno bahagian Tangga Batu.

Shamsul mendesak SPRM supaya tampil memberikan penjelasan berhubung kelewatan penangkapan individu terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul.

“Saya juga mendesak supaya menghentikan sebarang percubaan ‘cover up’ oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin terbabit,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri ‘tidur’ punca indeks rasuah negara merosot

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 JAN: Kelemahan pentadbiran negara mendorong berlakunya penurunan dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah CPI 2016, kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau berkata, Parlimen juga didakwa gagal membuat pemantauan rapi susulan ketidaktelusan pentadbiran Kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Lebih mengejutkan, indeks itu mencapai aktiviti berisiko rasuah terlalu tinggi membabitkan sektor pertahanan negara.

“Keadaan ini dipercayai berlaku kerana tiada pemantauan rapi oleh Parlimen, belanjawan negara, pertahanan tidak telus dan penguatkuasaan anti rasuah yang terlalu lemah dalam menjalankan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan kebimbangan awam susulan kurangnya keinginan Kerajaan Persekutan secara konsisten dalam menangani rasuah.

shamsul-iskandar-mohd-akinTerdahulu, Malaysia berada di tangga ke-5 berbanding tahun sebelumnya 54 dari 176 negara di kedudukan indeks rasuah CPI.

Menurut indeks yang dikeluarkan Transparency International (TI) Malaysia, ukuran skor Malaysia juga merosot kepada 49 berbanding 50, pada tahun lalu.

Di peringkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan ke-7 dan Brunei.

Sementara itu, Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Satar menuntut ahli politik mengamalkan kepimpinan bersih dan telus.

“Kita melihat banyak yang diperkatakan dalam usaha menangani rasuah tetapi semua hanya janji. Malangnya, kita belum melihat tindakan yang konkrit.

“Selain itu, ahli politik juga bukan hanya perlu bebas rasuah mereka juga perlu kelihatan ‘bersih’,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ketua Menteri Adenan menyalahgunakan kuasa autonomi Sarawak

OLEH : Shamsul Iskandar Mohd Akin

Saya mengecam keras tindakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Adenan Satem yang menghalang kemasukan saya ke negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.

Saya telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 3.55 petang semalam.

Shamsul IskandarSaya ditahan hampir 3 jam di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum diterbangkan semula ke Kuala Lumpur pada jam 6.25 petang.

Ini merupakan kali kedua saya dihalang masuk selepas dihalang kali pertama pada 2 April yang lalu di mana kemudiannya saya dibenarkan. Pada kali ini saya telah diserahkan satu notis rasmi penolakan kemasukan saya ke Negeri Sarawak.

Halangan kemasukan ini saya tegaskan bertentangan dengan hak warganegara di bawah Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan untuk bergerak secara bebas dan merupakan penyalahgunaan kuasa imigresen seperti yang termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara tentunya dalam konteks menjalankan aktiviti politik yang sah.

Saya yakin tindakan ini bermotifkan politik memandangkan ianya terlalu hampir dengan hari penamaan calon. Sebelum ini saya langsung tidak bermasalah untuk masuk ke negeri Kenyalang ini.

Jelas bahawa Ketua Menteri Adenan tidak punyai wibawa dan keberanian untuk bertarung di atas lapangan politik yang sama rata. Ketua Menteri Adenan adalah Ketua Menteri yang paling pengecut Sarawak pernah lahirkan !

Tindakan bacul ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional Sarawak ‘desperate’ dan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kemaraan pakatan pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Sarawak ke 11.

Namun saya yakin rakyat Sarawak mempunyai kesedaran politik yang tinggi untuk membuat kejutan dengan melakukan perubahan.

‪#‎demiSarawak‬

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

Categories
NASIONAL

Tolak soalan isu RM2.6 bilion mengecewakan

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak soalan berkaitan isu ‘wang derma’ RM2.6 bilion dikemukakan di Parlimen dipertikaikan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau berkata, penolakan itu mengecewakan KEADILAN yang mahukan persoalan itu dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Menteri Kewangan.

SHAMSUL ISKANDAR“Apabila soalan ditolak maka cara lain adalah mengemukakan usul di Parlimen bagi mendapatkan penjelasan.

“Kita berbincang Majlis Pimpinan KEADILAN mengenainya dan mungkin usul ini dikemukakan pada minggu ini,” katanya yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, KEADILAN berpandangan isu itu tidak perlu dilindungi dan pendedahan harus dilakukan.

“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan apakah kewajaran soalan ini ditolak?

“Ia menimbulkan persoalan kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan wang RM2.6 bilion digunakan untuk melawan keganasan maka tidak timbul isu ia dipulangkan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat kenyataan sebahagian daripada RM2.6 bilion dipulangkan kembali dan kesnya ditutup.

EZY

Categories
NASIONAL

Peruntukan JPM RM20 bilion pinggir rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Langkah memberi peruntukan RM20 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Bajet 2016 Persekutuan dianggap hanya mensejahterakan jabatan itu dan bukannya rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata ia berbeza apabila nasib bidang pendidikan mengalami pemotongan 15 peratus.

yb samsul parlimen“Tindakan mewujudkan kerajaan dalam kerajaan sebegini adalah sama sekali tidak sihat.

“Kenapa dipusatkan aktiviti utama kerajaan di JPM dan apa guna menteri lain,” kata Shamsul ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan 2015 di Dewan Rakyat semalam.

Ketika menyentuh isu perumahan dan pengangkutan awam, Shamsul berkata dua tema besar itu beberapa kali sudah diangkat dalam belanjawan beberapa tahun kebelakangan ini.

Shamsul juga menyeru supaya Kerajaan Persekutuan menumpukan usaha menyediakan rumah kos rendah dan bukannya rumah mampu milik berharga mencecah setengah juta ringgit.

EZY

Categories
NASIONAL

PKR perlu jadi parti poros tengah

Oleh: NAEEM RAFFI

JASIN, 3 Ogos: PKR perlu menjadi parti poros tengah dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam menjana kekuatan gabungan itu menentang kerajaan bongkak Umno-Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata PKR perlu melipat gandakan usaha melahirkan lebih ramai negarawan dalam kalangan pemimpinnya untuk terus membawa harapan dan keyakinan rakyat yang dahagakan keadilan bagi merealisasikan hasrat itu.

yb samsul parlimen“Pembesaran PKR adalah langkah strategik bukan sekadar menambah keanggotaan, bahkan mencambah budayawan dan negarawan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada siri Jelajah Amanat Presiden di Hotel Sri Impian, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin dan Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, berkata usaha itu diambil bersandarkan semangat hubungan politik dalam gabungan Pakatan yang menjadi keperluan pra-syarat dalam menumbangkan Umno-BN.

IMG_20150802_184152“Teladani bagaimana Rasulullah SAW membuat gabungan politik dengan yahudi dalam Piagam Madinah untuk mencapai keamanan dan keselamatan bersama.

“Dalam perang dunia kedua pula, bagaimana Perdana Menteri Britain, Winston Churchill bekerjasama dengan Presiden Amerika, Franklin Delano Roosevelt menumpaskan gabungan Nazi Jerman.

“Justeru, PKR perlu muncul sebagai Parti Poros Tengah dalam gabungan Pakatan. Untuk menjamin kestabilan poros tengah, PKR perlu persiapkan diri sebagai parti terkuat,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa sudah jadi dengan siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin?

Oleh: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Saya mengalu-alukan tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Tindakan terbaru SPRM melalui kenyataan media Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Zainal Bin Adam baru-baru ini yang mengumumkan penahanan 23 kontraktor kelas F yang dilantik di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan bagi Parlimen Dungun dan Paka sangat dialu-alukan.

daim27833e07bc50ed0a1f41624f47b8980dSeterusnya pada bulan September 2014 yang lalu, Panel Penilaian Operasi (PPO) telah mengeluarkan arahan untuk SPRM membuka semula siasatan sejak tahun 2009 sehingga menyebabkan secara keseluruhannya 289 orang telah diheret ke mahkamah tahun lalu.

Daripada jumlah itu, secara pecahannya 119 ialah penjawat awam, 117 orang awam, 52 sektor swasta dan satu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara kami alu-alukan tindakan agresif SPRM lewat kebelakangan ini, kami juga ingin memberikan peringatan kepada SPRM agar tidak hanya bertumpu siasatan kepada suspek perasuah “anak-anak ikan”.

Yang sepatutnya diberikan tumpuan utama ialah siasatan terhadap perasuah ataupun suspek perasuah yang boleh digelar “jerung-jerung besar.”

Ketika saya menjawat jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan pada awal tahun ini, saya telah membuat laporan kepada SPRM untuk memulakan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang disyaki mempunyai kekayaan luar biasa.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara terbuka telah membuat dakwaan bahawa Tun Daim Zainuddin mempunyai wang mencecah wang berbillion-billion ringgit di dalam bank di Afrika dan Eropah Timur dengan menggunakan proksi bagi mengaburi salahlaku tersebut.

Malah, seperti yang dilaporkan blog pro kerajaan, Tun Daim tidak menafikan dakwaan ini dengan kenyataan; “Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya ?”

Pendedahan Dato’ Seri Anwar ini tentunya konsisten dengan laporan polis yang telah beliau kemukakan pada 30 Jun 1999 [ruj:LAPORAN POLIS TUN HS LEE 20455/99] yang bukan sekadar mendedahkan perihal rasuah tersebut, tetapi juga turut mengemukakan bukti iaitu tiga pucuk surat yang masing-masing di tulis oleh Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi Hamzah.

Malangnya sehingga kini, kami masih lagi menunggu maklum balas daripada SPRM sama ada siasatan telah dimulakan terhadap laporan yang telah dikemukakan.

Tiada laporan berita ataupun kenyataan media oleh SPRM yang dibuat setakat ini memaklumkan bahawa Tun Daim Zainuddin telah dipanggil untuk disiasat.

Saya mendesak SPRM untuk segera memulakan siasatan terhadap Tun Daim. Saya juga meminta secara rasmi agar Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang untuk turut memainkan peranan agar jerung jangan dibiar berenang bebas di saat ikan bilis dipukat rakus.

*Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah Ahli Parlimen Bukit Katil

Categories
NASIONAL

Shamsul Iskandar fail notis permohonan batalkan pertuduhan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini memfailkan notis permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya menyertai perhimpunan ‘Blackout 505’ di pekarangan sebuah masjid, di sini.

Shamsul Iskandar memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Fahda Nur & Yusmadi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam permohonan itu, Shamsul Iskandar yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah cacat, defektif dan tidak menepati kehendak-kehendak tempat larangan, selain ia adalah satu penyalahgunaan proses dan mempersenda keadilan.

Beliau mendakwa pertuduhan itu lebih cenderung bermotif politik, perbuatan pendakwaan terpilih, dilakukan dengan niat jahat dan menjejas kedaulatan undang-undang.

Shamsul Iskandar yang hadir bersama peguam Yusmadi Yusoff memohon pertuduhan di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan 2012 terhadapnya digantung dan/atau diketepikan dan dibatalkan.

Beliau berkata, seksyen itu tidak digubal secara berperlembagaan dan bertentangan dengan Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menyekat hak Perlembagaan untuk berhimpun secara aman termasuk perhimpunan di dalam kawasan jarak 50 meter di tempat ibadah yang telah disenarai sebagai tempat larangan untuk berhimpun.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar memohon perintah mahkamah supaya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pada 5 Ogos 2013, Shamsul Iskandar; Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36; dan Naib Ketua, Mohd Nazree Mohd Yunus, 29; mengaku tidak bersalah menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu dalam pekarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dakwaan Himpunan Turun cemari demokrasi hanya ‘imaginasi nakal’ polis

Oleh: Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 2 JAN : Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang didakwa mencemari sistem demokrasi negara disifatkan sebagai ‘imaginasi nakal’  polis apabila bertindak menyamakannya dengan Thailand dan Mesir.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata himpunan di ibu kota itu tidak bertujuan untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa, sebaliknya memfokuskan kepada gesaan menurunkan harga barang.

ambang2o14Beliau berkata rakyat umumnya menghormati sistem demokrasi di negara ini terutama dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu meskipun prosesnya tidak telus.

“Kita semua sedia maklum proses demokrasi Malaysia terutama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) telah dilalui walaupun terdapat penipuan dan sebagainya.

“Tetapi selepas daripada pilihan raya, tiada pihak yang cuba melakukan perubahan kerajaan melalui sistem selain proses demokrasi.

“Justeru dakwaan pihak polis itu adalah tersasar, meleset dan menunjukkan mereka hilang tumpuan kerana yang hadir semasa perhimpunan itu 50 peratus daripadanya adalah orang muda yang marah dengan tindakan tidak munasabah kerajaan terhadap rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata pihak polis seharusnya lebih memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan tidak melabel kumpulan demonstrasi ini sebagai penjenayah kerana ia dibenarkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

shamsul-iskandar-pkr(1)Katanya, polis juga tidak mempunyai sebarang bukti mahupun alasan untuk mendakwa himpunan itu adalah bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah di negara ini.

“Kita adalah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang mengunakan pilihan raya untuk mengubah kerajaan, justeru tidak munasabah kata kita mengguna pendekatan ala Thailand untuk mengguling kerajaan.

“Saya juga harap polis tidak sensitif dengan perkataan guling kerana ia bukan satu perkataan jenayah. Rakyat mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan secara bebas tanpa rasa takut,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata Himpunan Turun yang dianjurkan adalah topeng pihak tertentu untuk mencemarkan sistem demokrasi negara seperti di Thailand dan Mesir.

Beliau berkata himpunan itu sengaja diadakan sebagai permulaan bagi agenda yang lebih luas dan dikatakan berkait dengan pilihan raya umum yang lalu.

EZY