Categories
SELANGOR

Cegah wabak, MBSA gesa premis makanan tingkat kebersihan

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI,

SHAH ALAM 12 NOV – Semua pengusaha premis makanan digesa mementingkan aspek kebersihan terutamanya di setiap proses atau peringkat penyediaan makanan bagi mencegah meningkatnya wabak penyakit dan keracunan makanan.

Para pengusaha juga perlu memastikan pekerja di premis itu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) seperti perlu menghadiri kursus pengendalian makanan dan mengambil suntikan antityphoid (TY2).

dDatuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, aspek penyediaan makanan yang sistematik dan bersih adalah penting kerana rata-rata premis makanan di Shah Alam sentiasa dikunjungi oleh masyarakat berbilang umur dan bangsa.

Beliau berkata demikian di dalam satu program ‘Chefmanship Academy’ bersama Unilever Food Solutions Malaysia di Dewan Auditorium MBSA, di sini, hari ini yang turut dihadiri seramai 700 pemilik premis makanan.

“Harapan MBSA, kita nak pengusaha-pengusaha restoran ini bantu kita supaya dariapda pembelian bahan-bahan untuk dijadikan makanan, sampai ke restoran, dibersihkan dan disimpan, dimasak, semuanya dalam bersih.

“Ada yang dilaporkan (makanan) diletak di dalam tandas, sebagai contoh, tak kan lah kita bakar ikan dengan tempat yang begitu daif, jadi kita tak nak lah macam ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program itu.

Turut hadir ke program berkenaan, Pengarah Pemasaran Unilever Food Solutions Malaysia, Quah Seng Khie serta ahli-ahli Majlis MBSA dan Pengarah Jabatan MBSA.

Sebelum ini, MBSA dalam satu operasi bersepadu bertindak merampas dan mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari terhadap premis dan peniaga di Medan Selera Prima Dua, Seksyen 2, Shah Alam yang gagal mematuhi peraturan kebersihan premis makanan.

Selain arahan penutupan premis, MBSA turut merampas kerusi, meja, payung, tempat pemanggang dan dapur memasak kerana meletakkan barang terbabit di luar kawasan premis.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar berkata, MBSA sentiasa membantu premis-premis makanan yang ingin mengembangkan perniagaannya tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Kita nak minta tolong, kalau nak buat pengubahsuaian, penambahan, beritahu MBSA, kalau ada masalah dengan pegawai, beritahu saya, jangan buat dahulu, tutup longkang semua, bawah itu ada tikus, tikus ini boleh membiak di dalam tong sampah,” katanya lagi.

– EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.