Categories
NASIONAL

Pakatan desak potong elaun Duta Khas RM28,000 sebulan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 NOV : Kerajaan pusat wajar memotong elaun duta khas Malaysia ke luar negara yang tidak membawa sebarang faedah dan impak besar kepada Malaysia sejak mereka dilantik, pada tahun 2010.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata mereka ialah tiga bekas menteri, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Penasihat khas kepada Perdana Menteri dan Duta Khas ke Amerika Syarikat), Datuk Seri Ong Ka Ting (Duta Khas ke Republik Rakyat China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India and India Selatan dalam bahagian infrastruktur).

sim-tze-tzimKatanya, duta khas diberi gaji dan elaun  RM 27,227.20 sebulan, menjadikan jumlah setahun yang diterima mereka ialah RM980,179.20, selain turut menerima semua keistimewaan dan elaun yang dinikmati menteri kabinet lain.

“Kedutaan Amerika Syarikat, China dan India lengkap dengan pelbagai perkhidmatan dan hubungan Malaysia dengan negara terbabit stabil serta cukup untuk duta berkenaan menjalankan tugas dengan baik juga profesional.

“Dengan adanya duta khas, timbul kekeliruan siapa mempunyai kuasa yang lebih dan persoalannya adakah kerajaan tidak percaya kepada duta profesional iaitu pakar dalam hubungan luar negeri yang dilantik sebelum ini,” soalnya dalam pembentangan usul di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Duta sah Malaysia di Amerika Syarikat ialah Datuk Othman Hashim, Datuk Iskandar Sarudin (China) dan Datuk Naimun Ashakli Mohammad (India).

Dalam perbahasannya, Tze Tzin berkata, pelantikan duta khas negara berkenaan gagal melonjakkan pertumbuhan perdagangan dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia seperti yang tercatat dalam objektif pelantikan mereka.

“Kebelakangan ini pelbagai masalah seperti kegiatan pengintipan Amerika Syarikat ke atas pemimpin Malaysia, masalah negara China merebut Pulau Spratly juga masih belum diselesaikan.

“Ini menunjukkan duta khas gagal dalam tugasan mereka dan pembaziran wang rakyat yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada Malaysia,” tegasnya.

Beliau menggesa supaya elaun khas itu dipotong supaya wang rakyat tidak dibazir dalam keadaan fiskal kerajaan yang defisit besar, ekonomi tidak menentu, hutang negara hampir mencecah 55 peratus dan subsidi rakyat dipotong.

“Dalam keadaan rakyat susah kerana kos hidup meningkat dan bakal dikenakan GST akibat amalan BN penuh dengan ketirisan dan rasuah, adakah perlu kita membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk subsidi tiga bekas menteri kabinet yang bersara,” katanya.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.