Categories
AGENDA NASIONAL

Jepun ingin kongsi pengalaman, kepakaran urus bencana dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

“Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan… Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata Malaysia dan Jepun telah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

“Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan,” katanya.

Takahashi hari ini menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 Jan ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

15 ahli keluarga Duta Besar Palestin ke Malaysia korban terkini Gaza

SHAH ALAM, 31 JULAI:  Lima belas daripada 145 rakyat Palestin yang terkorban di Gaza, ekoran keganasan dan serangan udara terbaru Israel adalah ahli keluarga kepada Duta Besar baru Palestin ke Malaysia, Dr Anwar H Al Agha.

Beliau berkata, 15 orang itu terdiri daripada sepupunya yang  tinggal di tiga rumah dan beberapa yang lain cedera.

Smoke and fire from an Israeli bomb rises into the air ove Gaza CityDr Anwar berharap masyarakat bertindak menghentikan keganasan Israel di Gaza dan mengheret negara Yahudi itu ke mahkamah antarabangsa kerana kebanyakan yang terbunuh adalah orang awam dan kanak-kanak.

“(Kali ini) keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah antara yang terburuk sejak 2008 dan 2009.

“Israel tidak menghormati aktiviti agama rakyat Palestin walaupun dalam Ramadan, mereka tetap melakukan serangan dan pembunuhan terhadap rakyat di Gaza,” katanya yang dipetik daripada BERNAMA.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin kerana percaya rakyat negara itu mempunyai hak untuk menegakkan negara mereka.

Categories
NASIONAL

Pakatan desak potong elaun Duta Khas RM28,000 sebulan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 NOV : Kerajaan pusat wajar memotong elaun duta khas Malaysia ke luar negara yang tidak membawa sebarang faedah dan impak besar kepada Malaysia sejak mereka dilantik, pada tahun 2010.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata mereka ialah tiga bekas menteri, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Penasihat khas kepada Perdana Menteri dan Duta Khas ke Amerika Syarikat), Datuk Seri Ong Ka Ting (Duta Khas ke Republik Rakyat China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India and India Selatan dalam bahagian infrastruktur).

sim-tze-tzimKatanya, duta khas diberi gaji dan elaun  RM 27,227.20 sebulan, menjadikan jumlah setahun yang diterima mereka ialah RM980,179.20, selain turut menerima semua keistimewaan dan elaun yang dinikmati menteri kabinet lain.

“Kedutaan Amerika Syarikat, China dan India lengkap dengan pelbagai perkhidmatan dan hubungan Malaysia dengan negara terbabit stabil serta cukup untuk duta berkenaan menjalankan tugas dengan baik juga profesional.

“Dengan adanya duta khas, timbul kekeliruan siapa mempunyai kuasa yang lebih dan persoalannya adakah kerajaan tidak percaya kepada duta profesional iaitu pakar dalam hubungan luar negeri yang dilantik sebelum ini,” soalnya dalam pembentangan usul di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Duta sah Malaysia di Amerika Syarikat ialah Datuk Othman Hashim, Datuk Iskandar Sarudin (China) dan Datuk Naimun Ashakli Mohammad (India).

Dalam perbahasannya, Tze Tzin berkata, pelantikan duta khas negara berkenaan gagal melonjakkan pertumbuhan perdagangan dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia seperti yang tercatat dalam objektif pelantikan mereka.

“Kebelakangan ini pelbagai masalah seperti kegiatan pengintipan Amerika Syarikat ke atas pemimpin Malaysia, masalah negara China merebut Pulau Spratly juga masih belum diselesaikan.

“Ini menunjukkan duta khas gagal dalam tugasan mereka dan pembaziran wang rakyat yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada Malaysia,” tegasnya.

Beliau menggesa supaya elaun khas itu dipotong supaya wang rakyat tidak dibazir dalam keadaan fiskal kerajaan yang defisit besar, ekonomi tidak menentu, hutang negara hampir mencecah 55 peratus dan subsidi rakyat dipotong.

“Dalam keadaan rakyat susah kerana kos hidup meningkat dan bakal dikenakan GST akibat amalan BN penuh dengan ketirisan dan rasuah, adakah perlu kita membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk subsidi tiga bekas menteri kabinet yang bersara,” katanya.

-NFN-