Categories
NASIONAL

Hadi Awang nafi SU Antarabangsa Ikhwan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR, 12 NOV : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah media cetak di Mesir yang mendakwa beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung pertubuhan antarabangsa Ikhwan Muslim.

Haji Abdul Hadi AwangBeliau yang mengadakan sidang media di lobi Parlimen petang tadi menyifatkan laporan berita bertajuk “Tanzim Antarabangsa Ikhwan Mesir Menarik Diri dari Kepimpinan Ikhwan: Memilih Orang Malaysia sebagai Setiausaha Agung” oleh akhbar Al-Wathan mempunyai niat jahat dan tidak munasabah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya berita ini kerana ia bohong, tidak benar dan sangat mendukacitakan.

“Tidak munasabah saya yang duduk jauh ini melibatkan diri secara langsung tentang keadaan yang berlaku di Mesir,” katanya.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas dakwaan tersebut.

“Kita serah kepada pihak peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya. Kita yakin PAS boleh memenangi kes ini sekiranya ia dibawa ke mahkamah,” katanya.

Laporan akhbar yang telah diterjemahkan itu menyebut bekas pimpinan Ikhwan Muslim iaitu Tharwat Kharbawi mendakwa Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan organisasi itu di seluruh dunia selama tiga tahun.

Ia juga mendakwa Ikhwan Muslim antarabangsa memasukkan fasal baru dalam undang-undang tubuhnya yang kini mengiktiraf setiausaha agung antarabangsa sebagai mursyid (pemimpin kerohanian) sebenar pertubuhan itu.

Menurut terjemahan itu, mursyid jemaah kehormat Mesir kini dianggap sebagai satu jawatan simbolik sahaja.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.