Categories
KENYATAAN MEDIA

Dunia patut kutuk pembunuhan pimpinan & anggota Ikhwan Muslimin di Mesir

Oleh: Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius dan mengutuk tindakan pihak keselamatan Mesir menyerbu kediaman serta membunuh 13 orang pimpinan dan anggota Ikhwan Muslimin termasuklah mantan Ahli Parlimen Mesir, Naser al-Hafi setelah mereka dikatakan ditahan terlebih dahulu.

Tindakan ini adalah satu tindakan yang amat tidak wajar sama sekali serta membelakangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia, terutamanya apabila yang ditekan itu adalah sebuah gerakan yang dikenali sebagai bersifat sederhana, rasional dan mengutamakan pendekatan damai.

Gambar Rakyat MesirTindakan sebegini akan hanya menyemarakkan panggilan-panggilan kepada golongan-golongan yang ekstrem dan menggunakan pendekatan ganas, apabila pintu-pintu pendekatan damai tertutup.

IKRAM menggesa kerajaan Malaysia agar menggunakan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat antarabangsa bagi mendesak kerajaan Mesir menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.

IKRAM memohon kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk bermunajat kepada Allah bersempena Ramadan al-Mubarak ini dengan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Mesir serta diberikan hidayah-Nya atas para pemimpinnya.

* Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad adalah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Categories
NASIONAL

Hadi Awang nafi SU Antarabangsa Ikhwan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR, 12 NOV : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah media cetak di Mesir yang mendakwa beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung pertubuhan antarabangsa Ikhwan Muslim.

Haji Abdul Hadi AwangBeliau yang mengadakan sidang media di lobi Parlimen petang tadi menyifatkan laporan berita bertajuk “Tanzim Antarabangsa Ikhwan Mesir Menarik Diri dari Kepimpinan Ikhwan: Memilih Orang Malaysia sebagai Setiausaha Agung” oleh akhbar Al-Wathan mempunyai niat jahat dan tidak munasabah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya berita ini kerana ia bohong, tidak benar dan sangat mendukacitakan.

“Tidak munasabah saya yang duduk jauh ini melibatkan diri secara langsung tentang keadaan yang berlaku di Mesir,” katanya.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas dakwaan tersebut.

“Kita serah kepada pihak peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya. Kita yakin PAS boleh memenangi kes ini sekiranya ia dibawa ke mahkamah,” katanya.

Laporan akhbar yang telah diterjemahkan itu menyebut bekas pimpinan Ikhwan Muslim iaitu Tharwat Kharbawi mendakwa Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan organisasi itu di seluruh dunia selama tiga tahun.

Ia juga mendakwa Ikhwan Muslim antarabangsa memasukkan fasal baru dalam undang-undang tubuhnya yang kini mengiktiraf setiausaha agung antarabangsa sebagai mursyid (pemimpin kerohanian) sebenar pertubuhan itu.

Menurut terjemahan itu, mursyid jemaah kehormat Mesir kini dianggap sebagai satu jawatan simbolik sahaja.

-EZY