Categories
SELANGOR

‘Penahanan suspek tembak isteri tak mampu hilangkan kesedihan saya’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 NOV : Suami Allahyarham Norazita Abu Talib yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di Ambank USJ Sentral 2, Subang Jaya, 23 Oktober lalu hari ini melahirkan rasa lega selepas suspek utama kes itu ditangkap polis di Johor Bharu awal pagi tadi.

kes-tembak-3Bagaimanapun, Irwan Kamaruddin, 37, berkata penangkapan suspek yang merupakan Pengawal Keselamatan itu tetap tidak dapat menghilangkan kesedihan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau dan dua anaknya yang memerlukan belaian seorang ibu.

“Saya puas hati dengan tertangkapnya suspek dan berharap dia akan mendapat hukuman yang seberat-beratnya tetapi macam mana sekalipun masih tidak dapat hilangkan kesedihan kami sekeluarga.

“Saya percaya pihak pendakwa akan bersedia dengan bukti dan saksi bagi memastikan suspek tidak terlepas dari hukuman yang setimpal.

“Bagaimanapun kita sebagai seorang Islam, saya terima yang pergi tetap pergi tidak dapat dikembalikan lagi walaupun pembunuh itu menerima hukumannya nanti,” kata Irwan ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Mengulas lanjut, Irwan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak polis dan orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan tersebut.

Irwan juga berharap agar kejadian yang menimpa isteri beliau dijadikan pengajaran kepada semua pihak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar syarikat pengawal keselamatan menyaring ketat pengambilan kakitangan baru dan pihak berkuasa juga kena ketatkan syarat, kalau tidak ia boleh berulang kepada orang lain.

“Saya tidak sanggup melihat perkara seperti ini berlaku kepada keluarga lain pula,” kata beliau lagi.

Dalam kejadian rompakan di Ambank Subang Jaya, 23 Oktober lalu, suspek seorang Pengawal Keselamatan menembak mati Norazita dengan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang sebanyak RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

Norazita meninggalkan suami dan dua orang anak masih bersekolah, Nurisa Nabilah Irwan,12 dan Muhammad Hazimi Irwan, 8.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.