Categories
BERITA UTAMA

Masanya telah tiba & tanggungjawab kian memberat

Memang menjadi pengetahuan umum bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai
seorang wakil rakyat di Selangor menjadi semakin berat selepas Pilihan Raya
Umum ke-13.

Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) bukan sahaja perlu sentiasa turun padang untuk
menyelesaikan masalah dan isu di kawasan masing-masing tetapi juga perlu
memainkan peranan aktif dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).

Perbahasan di Dewan juga semakin rancak. Perbahasan Belanjawan 2014 di
peringkat jawatankuasa selesai selepas hebat diperbahas oleh ADN Selangor
selama dua hari berturut-turut.

laudownloadADN mengambil bahagian dengan aktif dalam perbahasan. Biasanya, ADN aktif membahas sesuatu belanjawan di peringkat dasar sahaja, tetapi kini kami bukan sahaja aktif di peringkat dasar tetapi juga sama aktif di peringkat jawatankuasa juga.

Ini menunjukkan, dalam kesibukan ADN menyelesaikan masalah rakyat, mereka
juga tidak melalaikan tanggungjawab yang diamanah kepada mereka untuk
membahas setiap satu butiran dalam Belanjawan 2014.

Malah, Menteri Besar juga tidak kurang hebatnya apabila beliau bangun dan
duduk tidak kurang daripada 100 kali, bermula dari sesi soal jawab hingga ke
penangguhan Dewan untuk menjawab setiap soalan dan isu yang dibangkitkan.

Oleh itu, saya ingin menyentuh dengan lebih banyak terhadap kenaikan saraan
yang melibatkan Menteri Besar, EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker kerana
saraan untuk mereka telah dikekalkan pada paras yang amat rendah untuk satu
tempoh yang sangat panjang.

Justeru itu, sudah sampai masanya untuk menaikkan saraan mereka seperti apa yang dicadangkan oleh Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) ini.

Bagi Tan Sri Khalid Ibrahim khususnya, beliau akan menerima gaji pokok sebanyak lebih kurang RM39,000 selaku Menteri Besar Selangor. Gaji ini adalah berbaloi kerana sumbangannya kepada pembangunan kerajaan negeri Selangor begitu besar.

Contoh yang begitu baik ialah kejayaan beliau mengutip balik hutang Syarikat TALAM terhadap kerajaan Selangor sebanyak RM3.92 bilion beberapa tahun lalu.

Dewan Yang Mulia ini juga akan membahas tujuh penyata yang dihasilkan oleh Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada Julai.

Dalam masa tidak sampai enam bulan, Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan kerap bermesyuarat dan menghasilkan penyata-penyata ini berikutan siasatan yang dijalankan terhadap pihak Eksekutif.

Siapa yang menganggotai Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan ini? Sudah tentu ADN sendiri. Ini juga merupakan satu bukti yang jelas bahawa wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam PRU-13 sememangnya mereka yang benar-benar bertugas untuk rakyat.

IMG-20131127-00597Penyelarasan saraan ADN dan anggota pentadbiran harus dilihat secara menyeluruh – elaun Ketua Pembangkang bertambah dan kenaikan saraan bertujuan memastikan ADN dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan hati yang tenang tanpa terlalu memikirkan ‘sumber-sumber pendapatan’ lain seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Penyelarasan saraan itu akan menjamin ADN sentiasa fokus kepada tugasnya dan
tidak perlu risau tentang penyaraan kehidupan dan ahli-ahli keluarganya walaupun selepas bersara.

Pernah ada seorang ADUN MCA yang menderita akibat diserang penyakit strok
dari Perak selepas bersara terpaksa merayu kepada kerajaan Perak kerana pinjaman perumahannya akan ditolak daripada pencennya. Ini menjadikan pencennya tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan.

Selain itu, saya juga meminta saraan dan elaun untuk Ahli Majlis di PBT dan Ketua Kampung diselaraskan memandangkan mereka juga merupakan sebahagian daripada pasukan perkhidmatan ADN di peringkat akar umbi.

Sejajar kenaikan saraan ini, saya ingin mencadangkan kepada pihak Eksekutif untuk mempertimbang semula sama ada perlunya jawatan ‘Pembantu Exco’.

Ini kerana jawatan itu bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa. Kedua, selepas penyelarasan saraan, ADN sudah pasti perlu bekerja lebih keras untuk memantau perjalanan kerajaan negeri.

Maka, sudah pasti akan bercanggah dengan fungsi dan peranannya jika ADN dilantik menjadi sebahagian daripada Eksekutif melalui jawatan Pembantu Exco.

Justeru itu, saya memohon agar kerajaan mempertimbang semula jawatan berkenaan.

* Lau Weng San ialah ADUN Kampung Tunku
* Disunting dari www.wengsan.blogspot.com bertarikh 27 November 2013 yang 
menjadi intipati ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.