Categories
NASIONAL

PAS gesa kerajaan pusat tarik kenyataan berhubung isu kalimah Allah

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Kerajaan pusat digesa supaya menarik semula kenyataan mereka yang memburuk-burukkan PAS berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible kerana mereka sendiri membenarkan penggunaannya untuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata kerajaan juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

“Saya gesa Barisan Nasional (BN) yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga menimbulkan persepsi tidak baik kepada PAS dan menimbulkan ketegangan antara umat Islam dan bukan Islam perlu tarik balik kenyataan itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, pendirian kerajaan kononnya akan mempertahankan kalimah Allah iaitu hak eksklusif masyarat Islam di negara ini ketika pilihan raya lalu juga jelas berasaskan sentimen politik.

Katanya, tindakan BN yang berdolak-dalih berkenaan isu itu hanya sekadar untuk meraih kepentingan politik hingga menjadikan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini tidak harmoni.

“Saya ingin tegaskan supaya masyarakat tahu ini pendirian kerajaan yang dihebohkan dan bukan berasaskan agama tetapi sentimen politik untuk menghangatkan suasana politik.mahfuz omar

“Saya juga minta masyarakat faham bagaimana mereka terperangkap dalam agenda sangat busuk yang dilakukan kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mengelak untuk mengaku kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan di Sabah dan Sarawak sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, petang tadi.

Beliau diasak berulang kali oleh Mahfuz, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang menggesa Jamil mengaku secara terus terang bahawa kabinet membenarkan perkara itu.

Jamil sebaliknya berulang kali sekadar menyebut ketetapan itu mempunyai kaitan dengan Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.