Categories
NASIONAL

PR kecam tindakan Speaker Dewan Rakyat gantung Surendran

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Pakatan Rakyat (PR) mengecam penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran daripada Dewan Rakyat kerana tindakan itu tidak berprinsip.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan Parlimen mengantung Surendran membuktikan Barisan Nasional (BN) memperbodohkan dan menghina sistem demokrasi Malaysia.

anwar whiteKatanya, perkara terbabit harus dibawa ke peringkat jawatankuasa Parlimen bagi menyiasat kebenaran sesuatu perkara, sebelum penggantungan dibuat.

“Kita dapat lihat cara Parlimen memperalatkan kita. Keputusan cukup jelas iaitu mesti cukup waktu usul dikemukakan, tetapi dalam kes ini perkara itu diketepikan. Apakah dengan mudah kita boleh mengantung Ahli Parlimen kerana menyuarakan suara rakyat?

“Sepatutnya mereka perlu membuat penyiasatan dalam perkara ini dan membawa ke peringkat jawatankuasa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, tidak seharusnya Dewan Rakyat meminta Ahli Parlimen membahas usul pengantungan itu, sedangkan ia tidak dirujuk dalam peraturan mesyuarat.

“Nak suruh bahas buat apa, ia tiada dalam peraturan, sedangkan kita sanggup membawa Surendran ke peringkat jawatankuasa untuk disiasat,” katanya.

Anwar berkata, jelas membuktikan bahawa Parlimen diperalatkan untuk kepentingan individu dalam kes terbabit.

“Dulu saya juga kena ketika membicarakan isu APCO, begitu juga dengan Ahli Parlimen Puchong. Nampaknya Parlimen digunakan, sedangkan ini adalah soal prinsip bukan teknikal dan kita harus menghormatinya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, berkata DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan BN yang angkuh dan bersifat kuku besi.

Katanya, dalam kes terbabit jelas menunjukkan Parlimen mengenepikan hak Ahli Parlimen untuk bersuara dengan bebas bagi membincangkan isu rakyat.

“Kita lihat dalam lima tahun, ramai Ahli Parlimen di ambil tindakan yang sama,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.