Categories
SELANGOR

1,000 kanak-kanak DUN Batu 3 terima manfaat program ‘Balik Ke Sekolah’

Oleh: Siraj

SHAH ALAM 28 DIS : Musim persekolahan bagi tahun hadapan bakal memberi lebih makna kepada hampir 1,000 kanak-kanak di DUN Batu Tiga, Shah Alam apabila menerima manfaat daripada program ‘Balik Ke Sekolah’.

Program anjuran Kerajaan Negeri itu menyediakan kupon baucar kasut BATA sebanyak RM30 kepada 600 kanak-kanak di setiap DUN di negeri ini.

DSC_0149aSelain daripada peruntukan Kerajaan Negeri, kanak-kanak di DUN Batu Tiga itu diberikan peruntukan tambahan oleh Adunnya, Rodziah Ismail yang memperuntukkan RM45,000 bagi menampung hampir 400 lagi kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasannya.

Katanya, antara kriteria yang diperlukan bagi penerima baucar berkenaan adalah pendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM2,000 sebulan.

“Jika sesebuah keluarga mempunyai tiga orang anak, Kerajaan Negeri menyediakan baucar kepada dua orang anak bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung ibu-bapa,” katanya.

Rodziah berkata, beliau menyediakan peruntukan tambahan yang diperoleh daripada perbelanjaan berhemah serta tajaan daripada pelbagai gedung yang membolehkan kanak-kanak tersebut menerima manfaat.

“Alhamdulillah, kita memanggil seramai 1,000 penerima, Kerajaan Negeri memperuntukkan 600 penerima, tapi di DUN Batu Tiga, saya tambah lagi 400 penerima dengan peruntukkan yang ada bagi membantu keluarga-keluarga di sini,” katanya.

DSC_0010aRodziah ditemui ketika menyampaikan baucar berkenaan di sebuah gedung pakaian di Seksyen 18, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita berkata, rata-rata ibu-bapa serta kanak-kanak yang ditemuinya mengucapkan terima kasih dan rasa syukur kerana membantu meringankan beban menyediakan perbelanjaan persekolahan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya gembira, melihat muka-muka ibu bapa dan kanak-kanak, semua gembira dan lega serta mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, lebih-lebih lagi barangan sekarang amat mahal.

“Ada seorang penerima berjumpa saya dan mengatakan jika tiada bantuan seperti ini, dia hanya menyediakan apa yang termampu untuk anaknya, ia benar menyentuh hati saya,” katanya lagi.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.