Categories
NASIONAL

Aliran keluar wang haram RM1.2 trilion, Kerajaan Pusat perlu bertindak

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 12 DIS : Kerajaan Pusat digesa mencontohi kaedah diguna pakai British yang mewujudkan pendaftaran awam berpusat bagi maklumat pemilikan berfaedah korporat bagi menghentikan aliran wang haram yang semakin buruk di negara ini.

guan eng parlimen 03Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Malaysia kini menjadi ‘juara dunia’ korupsi dengan USD370.38 bilion (RM1.2 trilion) aliran wang haram ke luar negara antara 2002-2011 hasil daripada jenayah, rasuah dan pengelakan cukai.

Katanya, Malaysia mencatatkan bahawa sejumlah RM173.84 bilion (USD54.18 bilion) aliran keluar wang haram dari Malaysia pada tahun 2011, keempat paling teruk di dunia.

Bagi tahun tersebut, kedudukan Malaysia berada di belakang Rusia (USD191.14 bilion), China (USD151.35 bilion) dan India (USD84.94 bilion).

“Bank Negara Malaysia (BNM) tidak efektif dan tidak cekap; malah langsung tidak bertanggungjawab dan lalai dalam menghentikan pengaliran keluar wang haram ini.

“Walaupun mewujudkan jawatankuasa bertindak pada tahun 2010 untuk melaksanakan langkah bagi menghentikan aliran keluar wang haram,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

GFIKatanya, menurut laporan pemerhati kewangan berpusat di Washington, Global Financial Integriti, walaupun populasi Malaysia kecil, ia memiliki aliran keluar wang haram lebih tinggi berbanding negara populasi lebih besar antara 2002-2011 dengan jumlah USD370.38 bilion.

Jenayah, rasuah dan pengelakan cukai dikenalpasti sebagai penyumbang utama. Dengan jumlah kerugian besar sebanyak RM1.2 trilion atau USD370.38 bilion dalam bentuk wang haram antara tahun 2002-2011 ini.

“Jelas sekali jumlah kerugian wang haram ini lebih besar daripada KDNK Malaysia untuk tahun ini mahupun tahun hadapan,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pusat mesti mengambil tindakan ke atas penganugerahan gelaran yang begitu memalukan dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas skandal kewangan seperti skandal saham Bumiputera bernilai RM52 bilion.

“Skandal RM14 bilion Port Klang Free Trade Zone serta pendedahan saban tahun pihak Ketua Audit Negara tentang kegagalan mengurus kewangan yang melibatkan dana berjumlah RM6.5 bilion dalam tahun 2012 hingga hari ini, tiada seorang pun menerima hukuman,” kata Guan Eng.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.