Categories
KENYATAAN MEDIA

Aliran keluar wang haram RM1.2 trilion: Rakyat terpaksa cuci dosa kebejatan urus tadbir BN

Laporan Global Financial Integrity (GFI) berhubung aliran keluar wang haram negara tidaklah mengejutkan ramai. Ukuran kemampuan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan l, Najib Tun Razak sepanjang menggalas tugas ini sememangnya boleh diduga.

logo SAMM2Negara terus mengalami peningkatan defisit drastik dalam tempoh ini malahan, aliran keluar wang haram negara juga begitu tinggi semenjak beliau menerajui negara. Peningkatan dari USD 34.51 billion (2009) kepada USD 64.51 billion (2010) dan USD 54.18 (2011).

Negara juga telah menggubal dan menguatkuasakan Akta Anti Pengubahan Wang (Anti Money Laundering Act – AMLA) semenjak tahun 2001.

Tetapi mengapa kadar aliran keluar wang haram ini terus berlaku malah semakin drastik untuk tahun 2010 dan 2011 berjumlah USD 118.69 billion iaitu bersamaan RM 356 billion. Jumlah aliran wang haram ini melebihi peruntukan Bajet Persekutuan 2014.

Sekiranya rejim Pemerintah mempunyai kemampuan mengawal perkara ini paling tidak pun seperti tahun 2009, kita pasti mempunyai sedikit lebihan dana untuk mengawal kadar defisit negara.

Tidak perlu diperkenalkan sebarang bentuk dasar atau percukaian yang memeras kantung rakyat seperti GST, rasionalisasi subsidi minyak dan kenaikan tarif elektrik, tol, harga barang serta tambang pengangkutan awam.

Kegagalan rejim Pemerintah dalam mengawal aliran keluar wang haram dan kadar defisit negara akhirnya memangsakan rakyat seolah-olah rakyat menjadi pencuci dosa kepada kebejatan urus tadbir rejim Pemerintah.

Bagaimana rakyat boleh menaruh kepercayaan kepada rejim Pemerintah seperti yang dipinta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kebolehpercayaan rejim Pemerintah ini sering tidak konsisten apatah lagi untuk meletakkan sebarang harapan dan kepercayaan masa depan negara dalam rundingan TPPA.

Sebelum PRU 13, negara dikejutkan dengan pendedahan Global Witness lengkap dengan rakaman video bagaimana ahli keluarga yang rapat dengan rejim Pemerintah Sarawak dalam memanipulasi undang-undang dan percukaian negara.

Malahan, rakaman video tersebut jelas menyiarkan petikan bagaimana mereka menyembunyikan wang haram mereka di Singapura dengan perancangan yang begitu baik.

Setelah 8 bulan, apakah tindakan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, dan pelbagai lagi aparat Pemerintah bagi menyiasat dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Bagaimana kita boleh meletakkan lagi kepercayaan kepada rejim ini? Apakah kerana mereka ini rapat dengan rejim Pemerintah maka mereka akan terlepas begitu sahaja?

Inilah contoh sebenarnya pengkhianat tanahair tercinta ini bukannya rakyat biasa yang berusaha keras menyabung tenaga demi sesuap nasi dan akhirnya di panggil pengkhianat hanya kerana menentang perlaksanaan GST atau mana-mana rejim percukaian regresif yang ingin dikenakan kepada rakyat.

Sememangnya negara ini di dalam krisis yang dahsyat. Kegagalan setiap instrumen dalam negara telah memangsakan masa depan cerah negara ini.

Hilangnya daya saing di peringkat antarabangsa, kebocoran dan ketirisan kewangan negara, defisit berterusan dan aliran wang haram keluar yang tinggi sehinggalah kepada penurunan taraf pendidikan Sains dan Matematik seperti dalam laporan PISA adalah berpunca dari hilangnya sikap kebertanggungjawapan dan amanah rejim Pemerintah hari ini.

Mereka terus berdansa dalam panggung khayalan mereka. Menari mengikut unjuran di atas kertas semata-mata sedang hakikat negara ini berada dalam keadaan mengundur.

Rakyat terus digula-gulakan dengan pemberian BR1M setahun sekali sedangkan rejim terus-terusan mencabut nikmat kehidupan setiap masa.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL

RM1.2 trilion aliran wang haram, PM patut letak jawatan – Rafizi

Oleh : Norhayati Umor

SHAH ALAM 12 DIS : Datuk Seri Najib Tun Razak didesak meletakkan jawatan ekoran jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi seterusnya membuktikan Najib tidak berupaya menjawat Menteri Kewangan.

rafizi duit 01Gesaan itu dibuat oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ekoran Malaysia ketika ini menjadi ‘juara dunia’ korupsi dengan USD370.38 bilion (RM1.2 trilion) aliran wang haram ke luar negara antara 2002-2011 hasil daripada jenayah, rasuah dan pengelakan cukai.

Malaysia juga mencatatkan sejumlah RM173.84 bilion (USD54.18 bilion) aliran keluar wang haram dari Malaysia pada tahun 2011, keempat paling teruk di dunia.

Rafizi berkata, laporan Global Financial Integriti (GFI) ‘Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 hingga 2011’ iaitu Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002 – 201 mengesahkan bahawa ada kaitan rapat di antara rasuah dan jumlah aliran wang haram yang keluar dari sesebuah negara.

“Ini adalah salah satu daripada kesimpulan paling utama yang dibuat di dalam laporan terkini yang dikeluarkan semalam. Dalam mukasurat (xi) laporan itu menyatakan bahawa “..The panel data regressions also show that an increase in corruption increases trade misinvoicing..”

“Kesimpulan ini dibuat berdasarkan analisa empirikal data-data kewangan dari semua negara yang terbabit termasuklah Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia (BNM) yang sebelum ini mempersoalkan kaedah yang digunakan.

Katanya, selepas menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan itu juga menyanggah kenyataan Kerajaan Malaysia BNM yang menyalahkan ketepatan statistik bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.

“Seterusnya, dengan jawapan dan kaedah baru yang diguna pakai oleh GFI, Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat oleh GFI.

“Jumlah-jumlah wang haram itu bertepatan dengan bukti-bukti semasa seperti yang rakyat semua tahu.

“Antaranya, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat tidak berkurang malah jumlahnya bertambah setiap tahun,” katanya.

Rafizi berkata laporan urusniaga di luar negara seperti London juga mengesahkan terdapat pelbagai urusniaga mewah sejak kebelakangan ini.

Beliau menyifatkan kedudukan Malaysia di tangga ke empat tertinggi di dunia juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut.

“Oleh itu, Najib perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan kerana jumlah ini terlalu tinggi malah kedegilan Najib akan merencatkan kemajuan ekonomi negara seterusnya berterusan menekan rakyat,” katanya.

EZY

 

Categories
NASIONAL

Aliran keluar wang haram RM1.2 trilion, Kerajaan Pusat perlu bertindak

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 12 DIS : Kerajaan Pusat digesa mencontohi kaedah diguna pakai British yang mewujudkan pendaftaran awam berpusat bagi maklumat pemilikan berfaedah korporat bagi menghentikan aliran wang haram yang semakin buruk di negara ini.

guan eng parlimen 03Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Malaysia kini menjadi ‘juara dunia’ korupsi dengan USD370.38 bilion (RM1.2 trilion) aliran wang haram ke luar negara antara 2002-2011 hasil daripada jenayah, rasuah dan pengelakan cukai.

Katanya, Malaysia mencatatkan bahawa sejumlah RM173.84 bilion (USD54.18 bilion) aliran keluar wang haram dari Malaysia pada tahun 2011, keempat paling teruk di dunia.

Bagi tahun tersebut, kedudukan Malaysia berada di belakang Rusia (USD191.14 bilion), China (USD151.35 bilion) dan India (USD84.94 bilion).

“Bank Negara Malaysia (BNM) tidak efektif dan tidak cekap; malah langsung tidak bertanggungjawab dan lalai dalam menghentikan pengaliran keluar wang haram ini.

“Walaupun mewujudkan jawatankuasa bertindak pada tahun 2010 untuk melaksanakan langkah bagi menghentikan aliran keluar wang haram,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

GFIKatanya, menurut laporan pemerhati kewangan berpusat di Washington, Global Financial Integriti, walaupun populasi Malaysia kecil, ia memiliki aliran keluar wang haram lebih tinggi berbanding negara populasi lebih besar antara 2002-2011 dengan jumlah USD370.38 bilion.

Jenayah, rasuah dan pengelakan cukai dikenalpasti sebagai penyumbang utama. Dengan jumlah kerugian besar sebanyak RM1.2 trilion atau USD370.38 bilion dalam bentuk wang haram antara tahun 2002-2011 ini.

“Jelas sekali jumlah kerugian wang haram ini lebih besar daripada KDNK Malaysia untuk tahun ini mahupun tahun hadapan,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pusat mesti mengambil tindakan ke atas penganugerahan gelaran yang begitu memalukan dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas skandal kewangan seperti skandal saham Bumiputera bernilai RM52 bilion.

“Skandal RM14 bilion Port Klang Free Trade Zone serta pendedahan saban tahun pihak Ketua Audit Negara tentang kegagalan mengurus kewangan yang melibatkan dana berjumlah RM6.5 bilion dalam tahun 2012 hingga hari ini, tiada seorang pun menerima hukuman,” kata Guan Eng.

EZY